Jumaat, 3 Jun 2011

11 di mukah sarawak - Google Blog Search

11 di mukah sarawak - Google Blog Search


Blog Lenny Erwan: CATATAN <b>DI MUKAH</b> (PART 1)

Posted: 05 May 2011 07:30 AM PDT

MINGGU lepas (28 April - 1 Mei) saya dan rakan pensyarah dari Pusat Kebudayaan UM (kak Dot) berada di Mukah, Sarawak untuk penyelidikan Pesta Kaul. Idea projek ini ditimbulkan kak Dot selepas dia menerima undangan menghadiri pesta berkenaan dan dengan perbincangan tak sampai dua minggu, kami bersetuju untuk menghadirinya.

Maka pada 28 April 2011, mendaratlah dua wanita ini di lapangan terbang Sibu.

Untung sekali sebab saya ada sahabat di Sibu, kawan sekelas waktu sekolah menengah di Sabah yang sudi menjemput kami di lapangan terbang dan menghantar kami ke stesen bas Sibu. Kami meneruskan perjalanan ke Mukah menaiki bas selama 3 jam dan di sana kami dijemput pula oleh Pakcik Idris, ayah kepada seorang pelajar UM yang sudi menumpangkan kami di rumahnya sepanjang penyelidikan berlangsung. Alkisahnya semua hotel yang ada di Mukah sudah penuh kerana Pesta Kaul termasuk dalam kalendar aktiviti Sarawak. Jadinya sebarang perancangan minit terakhir memang akan menghadapi masalah tempat tinggal kerana orang lain tempah hotel sejak Januari lagi.

Maka, tercampaklah dua wanita ini di rumah pakcik Idris dan makcik Zaleha di Kampung Tetus Hilir, Mukah.

Pada hari kami tiba, walaupun sangat letih dengan perjalanan sejak seawal jam 4 pagi, tetapi kami gagahkan juga semangat keluar ke bandar Mukah malam berkenaan kerana masa berada di sana hanya 4 hari. Tak sanggup rasanya membuang masa untuk berehat walau seminit pun. Lebih kurang jam 6 petang, kami dihantar oleh pakcik Idris dan anaknya Irah menaiki motosikal ke bandar Mukah. Aktiviti pertama kami adalah berjalan di pasar malam Mukah di tebing sungai. Kami dihubungkan dengan seorang sahabat bernama Pengiran Saifudzin, yang mahu membawa kami ke tapak Pesta Kaul pada malam itu. Tetapi oleh kerana kami juga menghubunginya last minute, maka dia pun hanya free sekitar jam 11 malam. Segan nak mencuri masanya, saya dan kak Dot ambil keputusan untuk berjalan sendiri mencari tapak Pesta Kaul di tepi pantai. Kami bertanya pada penjual di Pasar Mukah, di mana lokasi pesta. Seorang peniaga cakap "dekat saja. Ikut signboard".

Maka berjalanlah dua wanita ini mengharung gelap malam mencari tapak pesta.

Berbekalkan lampu suluh yang kak Dot baru beli di pasar malam, kami pun jalan ikut signboard. Waktu itu sudah jam 8 malam dan keadaan jalan makin gelap. Sabah dan Sarawak sama, jam 6 sudah gelap. Jadi kalau jam 6.30 sudah gelap seperti jam 8 di Semenanjung, jadi bayangkanlah jam 8 itu gelapnya macamana. Lampu suluh menyelamatkan kami daripada dilanggar kereta hahaha... Sampai satu simpang, kami masuk ke kanan ikut signboard. Saya pegang lampu suluh dan asyik suluh jalan raya. Ada sekali lampu suluh terangkat dan tiba-tiba saya tersuluh .... BATU NISAN. Warghhh ... saya terjerit.. "kak Dot, kuburrr!!!!" Kak Dot diam saja, saya pun agak tergamam sebab tanpa kami sedar rupanya kami sudah memasuki jalan antara jirat Cina dan apabila saya suluh sekeliling... mak oiiii ... beratus kot kubur di keliling kami. Hahhhhh .... warghhhh....

Maka berjalanlah dua wanita ni merentas kuburan ... wakkakakakkk....

Kuburan, jambatan merentas sungai - dalam keadaan biasa jambatan tidaklah menakutkan tapi orang di sana percaya setiap sungai ada penunggunya. Jadi kami ni macam sangat beranilah sebab merentas tiga jambatan. Belum kira orang mabuk berhenti tanya "mana Bank Islam?" hahahaha .... Jalan punya jalan punya jalan ..yang peniaga di Pasar Mukah tadi cakap "sekejap saja" .. mau jugalah 40 minit baru kami sampai di tapak pesta. Wahhhh ... badan berlengas jangan ceritalah.... Malam tu belum ada aktiviti, hanya kami berkesempatan menyaksikan latihan persembahan untuk perasmian pesta itu. Kami juga melawat gerai-gerai komuniti yang dibuka khusus untuk menjual kraftangan dan makanan tradisi penduduk Mukah - termasuk juga barang-barang lain yang biasa saya nampak di downtown atau uptown di KL :).

Lebih kurang jam 11 malam sahabat baru kami yang dipanggil Pengiran itu sampai di situ dan membawa kami pulang. Saya fikir dia terkejut juga mendapat tau kami berjalan kaki dari Pasar Mukah ke tepi pantai. Tapi saya pula fikir kalau sesekali travel ke tempat orang, berjalan kaki adalah cara yang bagus untuk mengenal tempat baru. Jadi malam itu kami lepak dulu di restoran G-Fu berhampiran UiTM cawangan Mukah, bersembang sampai lebih kurang jam 1.30 dan disertai dengan seorang lagi kawan baru iaitu Mejar (B) American Wayne. Hehehe ... namanya unik kan, tapi dia orang Melanau dari Mukah. Sangat kelakar dan banyak cerita.

Tuan rumah tempat kami menumpang sangat baik hati. Mereka faham bahawa tuntutan kerja kami memerlukan kami pulang tidak menentu masa, jadi satu salinan kunci diberikan pada kami.

Jadi malam itu kami pulang hampir jam 2 dan terjingkit-jingkitlah kami macam dua anak dara pulang lewat malam hehehe...

Esok pagi kami bangun lewat dan bangun-bangun dijamu dengan sarapan sampai kami naik segan. Dapat jugalah mencuri masa bersembang dengan keluarga kami yang baru itu. Lebih kurang jam 10, Pengiran mengambil kami dan membawa kami ke perpustakaan UiTM Mukah. Kami duduk sehingga jam 3 petang, melihat bahan-bahan rujukan bagi memberikan gambaran awal mengenai penduduk Melanau dan Pesta Kaul itu sendiri. Jadi sedikit sebanyak saya memahami serba sedikit budaya dan objektif Kaul sendiri. Malam sebelumnya juga, melalui informasi Mejar American itu, saya dengan mudah memahami konsep ritual bangsa Melanau menerusi Kaul.


Selesai dari perpustakaan kami dibawa ke tebing sungai bandar Mukah, di gerai makanan. Menunggu di situ adalah rakan-rakan dari JKKN Sarawak dan tambah memeriahkan keadaan apabila Sham Razak pun ada. Sham kawan sekuliah saya di ASK dulu yang kini sudah jadi pegawai kebudayaan JKKN. Meriahlah berjumpa dengan dia. Habis semua cerita keluar. Juga terjumpa dengan anak angkat kepada ayah saya yang pernah saya temui di KL dulu.

Sebelah petangnya kami dihantar Pengiran ke tapak pesta dan kami meneroka seluruh lokasi dan meninjau gerai komuniti setiap satunya. Hari ini lebih bersemangat sebab kami tak letih seperti semalam. Ada satu gerai tu dibuka khusus atas nama Kelab Peminat P.Ramlee, jadi setiap masa berkumandanglah lagu-lagu P.Ramlee dinyanyikan oleh setiap pengunjung. Ada juga hati nak nyanyi sama, tapi orang bersusun tunggu giliran. So lupakan sajalah heheh ..

Kami menunggu acara malam iaitu persembahan kebudayaan. Jadi antara jam 5 hingga 8 kami tak tahu nak pergi mana. Mula-mula kami masuk ke tandas membersihkan diri, lepas tu kami lepak di dalamnya sebab ada kerusi disediakan. Kami bincang nak buat apa. Kami keluar dan berjalan lagi, rasanya masuk hari kedua tu kami dah lawat setiap gerai tu berpuluh kali sampai penjaga gerai pun ingat kami, malah kami dah hafal kedudukan gerai dan apa jualan mereka heheheh ...

Lebih kurang jam 6 saya dan kak Dot ambil keputusan duduk di tepi pantai, bersila di depan laut, menunggu senja bertukar malam sambil buka lap top dan online di hadapan laut terbentang di bawah langit luas. Kami melihat langit merah kuning bertukar gelap di hadapan mata. Sungguh indah sekali, menerbitkan satu perasaan yang sangat lama tidak saya rasakan sejak duduk di kota metro. Sehinggakan saya tertulis satu puisi dengan tak sengaja. :)

Jam 8 kami beredar ke pentas utama untuk persembahan malam kebudayaan. Lengang. Hairan juga. Tapi saya cakap pada kak Dot, mungkin lambat mula. Tunggu lagi, 8.30 tak ada juga. Jam 9 pun tak ada. Dalam menunggu tu sempatlah kak Dot tidur bawah khemah antara kerusi-kerusi plastik tu. Lepas tu ada orang naik pentas, saya cakap "oo, ini agaknya baru nak pasang teknikal". Tapi rupanya orang tu pengunjung yang ambik gambar. Lepas tu ada orang datang siram bunga. Kak Dot kata, "aik, malam-malam pun siram pokok bunga". Tunggu punya tunggu, tak ada persembahan malam itu. Kemudian ada rombongan JKKN Sarawak sampai, baru kami tau persembahan malam itu dipindahkan ke Dataran Pehin, disekalikan dengan keraian BN menang di Mukah dalam satu konsert melibatkan artis popular.

Jadi baliklah kami dua wanita ini pada malam itu dengan kesumpahan keseranahan sebab info yang tidak tepat serta tidak dikemaskini. Kami lepak lagi di restoran G-Fu bersama Pengiran dan kali ini disertai encik Ismail Hamdan, timbalan pengarah JKKN Sarawak. Malam itu kak Dot minta telur separuh masak dua biji. Orang kedai agak keberatan sebab ramai sangat orang takut kak Dot tak dapat tunggu. Saya pelik dengan jawapan itu lalu tanya dia balik "kalau dia dapat tunggu macamana?" Lepas tu dia mengangguk dan ambil order. Tapi memanglah hampir satu jam baru telur separuh masak tu sampai. Agaknya ayam lambat bertelur. Dan joke kami pada malam itu ialah, nasib baik minta telur separuh masak. Kalau minta telur sepenuh masak macamana? Malam esok agaknya baru sampai.

Jadi sekali lagi dua "anak dara wannabe" ni balik terjingkit-jingkit dalam jam 2 pagi.

Esoknya, seawal pagi kami dah bertolak ke tapak pesta untuk upacara perasmian. Tapi ada special request yang walaupun agak mengada-ngada tapi diturutkan juga oleh Pakcik Idris. Kerana bosan naik kereta dan berjalan kaki, kami meminta dia hantar kami ke tapak pesta naik bot hahahahhaha...... Walaupun Pengiran bersedia nak ambil kami seawal pagi, tapi kami dah berkeras nak naik bot hehehehhe.... Kampung Tetus Hilir sebuah perkampungan nelayan dan bandar Mukah pula di muara sungai. Jadi pakcik Idris pun ikutlah perangai kami, hantar kami naik bot dan mendarat di jambatan lima minit jarak dari tapak pesta. Naik bot memang cool. Yang tak cool apabila kami diturunkan di bawah jambatan dan naik merentas semak-samun dan tiba-tiba muncul di tepi jalan raya. Hahahhahahahah ... bayangkan, pakai bukan main lawa tiba-tiba muncul dari semak di tepi jalan .....wakkakakaka ... banyak pula kereta tu tengah menuju ke tapak pesta. Tapi kami buat selamba rock ajelah... kata travelllllll hahahahha....

Kami sampai sangat awal, jam 7 pagi - lagi 2 jam sebelum perasmian bermula. Jumpa lagi dengan Sham Razak yang tak habis-habis dengan perangai melawak dia tu. Saya bertugas ambik video dan dapat tempat sama dengan wakil media lain. Jadi gambar video semua clear termasuk gambar isteri Ketua Menteri Sarawak yang cun-melecun tu. Saya juga asyik shoot video dia nyanyi lagu Negaraku. Tapi yang tak dapat dilupakan adalah pengalaman saya cari pasal dengan urusetia penganjur yang sangat tak cekap. Nantilah saya cerita dalam Part 2

Lepas upacara perasmian, kami jalan kaki lagi ke Pasar Mukah seperti malam pertama sampai. Tapi kali ni kami dah tahu jalan pintas di tepi kubur. Kami dah tahu celah kubur mana yang lebih senang nak lalu jadi perjalanan 45 minit asalnya dah jadi 20 minit. Sebenarnya pemandangan kubur waktu siang tak adalah seram mana sangat. Yang terkejut sangat hari tu sebab tengah malam buta kan. Berjalanlah kami tengahari buta tu tapi tak kisahlah sebab kasihan nak minta Pengiran ambil. Jalan sudah sesak kerana banyak kereta keluar masuk. Pengiran bawa kami makan di Mya Cafe dan buat pertama kalinya dapatlah saya makan umai Mukah. Umai ikan pirang. Dan saya sungguh sukaaaaa ... kebetulan sahabat di Sibu berpesan membelikan umai, maka saya pun berikrar akan cari umai itu sebelum balik ke KL. Selepas makan Pengiran membawa kami ke Kampung Telian Jaya untuk melawat Lamin Dana atau Rumah Lama orang Melanau yang dibangunkan oleh pemiliknya Diana Rose. Sungguh seronok berada di situ, akan saya ceritakan nanti di Part 2 juga.

Petang itu kami kembali ke bandar Mukah dan kami menonton Auto Show. Sepatutnya ada pertunjukan rempit tapi tak jadi atas sebab keselamatan. Jadi kerana tak mahu susahkan Pengiran, kami jalan kaki sekali lagi ke tepi pantai untuk menyaksikan upacara Bermukun. Saya juga akan ceritakan kekecewaan saya menyaksikan upacara ini dalam part 2 nanti. Malam itu sebelum ke tepi pantai kami sempat singgah di pasar malam Mukah dan membeli-belah buat kali terakhir sebelum pulang ke KL esoknya. Malam itu Pengiran ambil lagi kami di tapak pesta dan buat kesekian kalinya melepak di Restoran G-Fu, kali ini disertai Sham yang sibuk upload gambar dari kamera dia ke lap top kak Dot. Malam itu juga kami gunakan untuk post-mortem tak rasmi mengenai perjalanan pesta itu di hadapan Sham, sebab dia pegawai JKKN dan agak berdebat jugalah mengenai beberapa perkara. Kami bercakap dari sudut pandang penyelidik dan Sham bercakap sebagai pegawai penganjur. Pengiran pula penduduk Mukah yang sudah menyaksikan penganjuran sejak bertahun-tahun. Jadi intipati perbincangan malam itu sungguh kritis sekali.

Buat kesekian kalinya dua wanita ini pulang lagi terjingkit-jingkit jam 2 pagi. Tapi malam itu buat pertama kali saya mandi malam di sana sebab siangnya dah berjalan dua kali pergi balik pasar Mukah-tapak pesta dan itu sungguh melengaskan. Tapi tidur sungguh lena.

Pagi-pagi kami dah bangun untuk packing barang. Sempatlah duduk sekejap berborak dengan keluarga makcik Zaleha yang akan kami tinggalkan. Mereka terlalu baik, susah nak ceritakan kebaikan mereka. Budi bahasa yang tinggi menyebabkan saya fikir betapa indahnya tinggal di kampung yang aman damai kerana ia menerbitkan sikap yang damai juga. Pengiran mengambil kami dalam jam 8.30 pagi dan membawa kami ke bandar Mukah. Pengiran juga dengan baik hatinya membawa kami memusing bandar Mukah dengan keretanya. Kemudian kami singgah di "market" dan beli umai untuk bawa pulang ke KL. Sementara tunggu umai dibungkus, Pengiran ajak kami duduk di sebuah "kedai kopi politik" yang mengumpulkan pelbagai lapisan bangsa bercerita tentang politik di situ. Kedai ini dibuka lepas Subuh hingga lebih kurang jam 10 pagi. Memang seronok berada dalam persekitaran begitu kerana di KL saya takkan lepak di tempat begitu seawal pagi begini sebab saya ada rumah!!! Hihihi...

Bas bertolak dari Mukah lebih kurang jam 10.30 pagi dan kami mengharung lagi perjalanan ke Sibu selama 3 jam. Berbeza ketika datang dulu, kali ini saya tak tidur kerana melayan ingatan dan hasil penyelidikan sepanjang berada di Mukah. Sampai di Sibu, sahabat yang sama sekali lagi menjemput kami di stesen bas dan menghantar pula kami ke lapangan terbang. Sebelum itu sempat dia membawa kami berjalan ke Medan Mall. Tak ada apa yang menarik kecuali sempat singgah beli buku. Kemudiannya saya dapat tahu baiklah saya beli buku itu di KL sebab harga buku di Sarawak (dan Sabah) lebih mahal heheheh ...

Jam 5 kami check in dan tepat jam 6.15 kapal pun terbang meninggalkan Sibu, membawa kami kembali ke Kuala Lumpur. Di LCCT, suami masing-masing sudah menunggu dan watak kami pun berubah kembali.

Saya mengingati Mukah sebagai sebuah bandar yang damai dan menyimpan banyak rahsia klasik bangsa Melanau serta kaum yang lain. Cuma kekecewaan saya apabila tradisi ini tidak dipelihara dengan wajar oleh pihak yang sepatutnya. Perkara ini akan saya sentuh pada entri akan datang. Yang ini saya tulis untuk introduksi gaya hidup kami di Mukah ... :)

Syukur alhamdulillah, kami dipertemukan orang yang baik-baik di Mukah. Pakcik Idris, makcik Zaleha, Pengiran Saifudzin, American Wayne, Diana Rose dan yang lainnya ... semua mereka "dihantar Allah" untuk mempermudahkan perjalanan kami di sana. Tiada kenangan pahit kerana kami menikmatinya dengan sepenuh hati.

Tunggu entri akan datang, yang itu saya akan cerita tentang hasil penyelidikan kami di sana ... jom tengok gambar. Gambar yang lebih menarik ada di entri akan datang.


Kak Dot dan saya mengada-ngada menyusahkan pakcik Idris hantar kami naik bot awal-awal pagi ke tapak pesta.

Ketua Menteri Sarawak dan isterinya yang cun-melecun. Saya dapat tangkap dari dekat sebab saya mencelah masuk bersama wakil media hehehe....

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads