by Eswandy Hinri. Posted on June 22, 2013, Saturday
JOHOR BAHRU: Sarawak bercadang untuk menjadikan Johor sebagai transit kemasukan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) kerana kedudukannya yang strategik.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Kemajuan Usahawan Bumiputera) merangkap Menteri Muda Perancangan Sumber Datuk Mohd Naroden Majais berkata, Johor berpotensi menjadi pusat kemasukan bagi mempromosikan produk-produk IKS kerana kedudukannya yang terletak di antara Singapura dan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
"Hubungan erat di antara negeri Johor dan Sarawak harus lebih dieratkan kerana melaluinya para usahawan negeri Sarawak terutamanya IKS mampu berkembang maju menerusi usaha sama di antara kedua-dua negeri," ujar Naroden ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di pejabatnya, semalam.
Turut serta dalam delegasi tersebut ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aidel Lariwoo, Dr Abdul Rahman Ismail dan Mohd Radzi Sitam, Pengarah Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Sarawak Kameri Affandi dan Pengarah Unit Hab Halal Samat Junai.
Sebelum itu, delegasi tersebut bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday bagi membincangkan serta menjemput para usahawan dari Johor untuk turut serta dalam Festival Makanan dan Kebudayaan Malaysia 2013 di Kuching yang akan berlangsung dari 6 hingga 8 September ini di Tebingan Kuching.
Naroden turut memberitahu, usaha mempromosikan produk makanan dari Sarawak menjadi lebih mudah kerana mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri Johor serta dibantu oleh penduduk yang berasal dari Sarawak yang bekerja di situ.
"Seramai 40,000 orang yang berasal dari Sarawak turut membantu secara langsung dan tidak langsung dalam mempromosikan produk-produk makanan (Sarawak) di Johor seperti Kek Lapis Sarawak, keropok dan makanan dalam tin.
"Malah penganjuran Expo Usahawan Bumiputera Sarawak pada tahun lepas terbukti berjaya apabila menyaksikan beberapa usahawan dari Sarawak menandatangani persetujuan bersama syarikat di negeri Johor untuk membekal produk-produk, malah membuka perniagaan di situ," tambahnya.
Delegasi yang diketuai Naroden berada di sini untuk merasmikan Expo Usahawan Bumiputera Sarawak 2013 di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall bermula semalam hingga esok yang disertai oleh 60 usahawan dari Sarawak.
Sementara itu, beliau memberitahu para usahawan dari Semenanjung Malaysia dialu-alukan untuk mempromosikan barangan mereka atau membuat pelaburan di Sarawak.
"Terdapat beberapa produk negeri Johor merupakan keluaran atau diproses di negeri Sarawak.
"Malah beberapa ahli jawatankuasa Kek Lapis Sarawak berasal dari Semenanjung Malaysia yang menunjukkan keharmonian negara sehingga ke tahap perkembangan ekonomi," jelas Naroden.
- Next Entry >>
To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.