Rasung dan royang lambang status keluarga, seni kian pupus
JIKA etnik minoriti Karenni atau disebut juga Kayan yang menetap di sempadan Burma-Thailand berbangga dengan keunikan lilitan tembaga di leher mereka, masyarakat Bidayuh di Sarawak juga memiliki perhiasan serupa.
Logam yang mereka jadikan perhiasan itu sama, bezanya perhiasan tradisi wanita masyarakat Bidayuh itu dililit di betis dan lengan, sedangkan bagi entik Karenni di Burma, tembaga itu perlu dililit di leher untuk menjadikan leher mereka jinjang.
Pada masa lampau, pemakaian lilitan tembaga yang dikenali sebagai rasung pada betis dan royang pada lengan wanita Bidayuh itu dianggap lambang kecantikan. Ketika itu, ramai anak gadis Bidayuh membiasakan diri dengan perhiasan yang beratnya mencecah satu kilogram setiap satu itu.
Mengikut kepercayaan mereka, pemakaian rasung dan royang akan melengkapkan kecantikan semulajadi pemakai. Malah, pemakaian dua perhiasan itu juga dikatakan lambang kekayaan keluarga pemakai kerana pada zaman lampau, logam seperti tembaga sukar diperoleh penduduk jauh di pedalaman.
Ketua Unit Penyelidikan Sosial Bidayuh, Majlis Adat Istiadat Sarawak, Bati Julam, berkata hanya anak gadis dari kalangan keluarga berkemampuan saja mampu memakai perhiasan itu.
"Ada yang beranggapan rasung dan royang akan menambah kecantikan pemakai, namun dari satu sudut lagi, pemakaian perhiasan unik itu sebenarnya lambang kemegahan atau menunjukkan status kekayaan keluarga pemakai.
"Pada zaman dulu, mereka yang tinggal di pedalaman sukar mendapatkan logam seperti tembaga, sebab itu rasung dan royang dianggap perhiasan mewah ketika itu," katanya kepada Rona.
Pakar budayawan merangkap Penyandang Kerusi Tun Abd Ghafar Baba Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Zainal Keling, berkata dalam pelbagai kaum atau masyarakat, pemakaian aksesori pelik dikatakan sekadar perhiasan bagi menggambarkan kecantikan terutama di kalangan wanita.
Malah, Prof Zainal berkata, pemakaian perhiasan yang dianggap 'menyeksakan' bagi sesetengah masyarakat hanyalah ritual melepasi garis peralihan umur atau alam kehidupan seperti upacara berkhatan dalam masyarakat Melayu.
"Sepatutnya, warisan turun temurun sesuatu masyarakat itu walaupun dianggap pelik perlu dipelihara susur galur masyarakat seterusnya sebagai tanda menghormati dan mengekalkan kebudayaan," katanya.
Berdasarkan pemerhatian Prof Zainal di Sarawak, negeri Bumi Kenyalang itu kaya dengan budaya dan adat resam. Sehubungan itu, anggapan segelintir pihak bahawa 'kecantikan' memakai perhiasan royang atau rasung sebagai salah satu cabang kecelaruan budaya yang dilabel sebagai 'Saora disorder' adalah tidak adil dan tidak masuk akal.
"Ia lambang kedewasaan dan keberanian individu apabila sanggup menahan sakit memakai aksesori terbabit. Lagipun, ia tanda ritual atau upacara kebudayaan sesetengah masyarakat dalam menguji ketahanan golongan belia menghadapi kehidupan.
"Melepasi upacara melampaui batas garis peralihan dan tahan sakit membuktikan individu itu bersedia menghadapi tahap dan status baru," katanya sambil menegaskan budaya unik seumpama itu tidak diperlekeh masyarakat lain.
Pada masa sama, Afrika, Asia Tenggara, Kalimantan, Amerika Utara mengalami persamaan budaya berikutan status populasi Austronesia iaitu bahasa pengantar etnik di seluruh kepulauan pasifik merentasi asli Taiwan dan India China.
Timbalan Dekan (Pasca Siswazah) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Jayum Jawan melihat senario peralihan zaman menyebabkan golongan muda enggan meneruskan ritual kebudayaan ibunda masing-masing.
"Ia tampak menyusahkan dan tidak praktikal untuk memakai lilitan tembaga pada bahagian badan tertentu seperti leher. Contohnya, wanita Bidayuh dulu hanya tinggal di rumah manakala golongan muda sudah keluar daripada kepompong masyarakat menyebabkan mereka perlu mengutamakan keselamatan diri dari kecederaan.
"Pandangan masyarakat berbeza menyebabkan golongan muda bakal mengalami kesusahan untuk menyesuaikan diri, malah diterima masyarakat sekiranya berpeluang keluar daripada kaum majoriti masing-masing," katanya yang juga anak Sarawak.
Prof Jayum berkata, sekitar era 1950-an dan penghujung 1960-an menyaksikan kaum Bidayuh utuh memperkasakan budaya unik mereka berbanding masyarakat hari ini yang kebanyakannya sudah mengalami perkahwinan campur.
Sementara itu, tinjauan Rona di Sarawak mendapati perubahan zaman menyebabkan perhiasan itu kini berada di ambang kepupusan dan jumlah pemakai kurang daripada 10 orang yang hanya ditemui di dua kampung di pedalaman Padawan berdekatan Kuching, iaitu Kampung Semban dan Kampung Kiding.
Lima wanita di Kampung Semban masih cergas dan mampu menempuh lima jam perjalanan di hutan untuk keluar dari penempatan mereka bagi memperagakan aksesori unik itu buat tatapan masyarakat luar.
Keunikan rasung dan royang diperagakan lima warga emas Bidayuh, Jiwa anak Sapa, 54; Singai anak Ningkan, 63; Belok anak Apeh, 63; Jaim anak Jang, 62, dan Tawon anak Batel, 65, pada satu majlis di Bengoh, baru-baru ini.
Mereka bangga kerana menjadi kumpulan terakhir wanita Bidayuh masih mengekalkan perhiasan tradisi warisan nenek moyang. Malah, Jiwa mengakui teringin melihat generasi muda memakai rasung dan royang kerana ia sebenarnya aksesori kebanggaan masyarakat Bidayuh.
"Sayangnya, tiada seorang pun anak mahupun cucu saya sanggup memakai perhiasan ini. Mereka anggap pemakaian lilitan tembaga ini menyusahkan pergerakan, sedangkan ia sebenarnya tidak sesukar mana. Saya memakainya setiap hari sama ada ke kebun, mencari kayu api atau mendaki bukit.
"Kami memakai perhiasan ini sejak berumur enam tahun dan tidak pernah menanggalkannya hingga sekarang. Saya memang bangga kerana dapat memperagakan salah satu perhiasan unik masyarakat kami," katanya.
Bagi generasi muda Bidayuh, pemakaian perhiasan itu yang menyulitkan pergerakan membuatkan mereka tawar hati untuk meneruskan tradisi yang diwarisi zaman berzaman.
Goian anak Ali, 39, mengakui tidak mahu mengikut jejak Singai, ibunya yang masih memakai perhiasan itu kerana menyifatkannya amat menyulitkan.
"Biarlah ibu saja pakai… saya tidak sanggup kerana ia akan menyukarkan pergerakan. Tambahan pula, setiap pemakai perhiasan ini perlu memakainya sejak kecil. Kalau usia seperti saya, tentu sakit jika dililit tembaga ini.
"Saya juga tidak menggalakkan anak-anak memakai perhiasan ini dan setahu saya, tiada seorang pun generasi muda Bidayuh yang memakai rasung dan royang sekarang," katanya.
Menyedari persepsi negatif generasi muda terhadap perhiasan tradisi itu, Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Dr James Dawos Mamit, mencadangkan rekabentuk baru rasung dan royang diperkenalkan bagi memastikan ia kekal untuk tatapan generasi akan datang.
"Reka bentuk baru itu biarlah memudahkan pemakai. Mungkin kita ubah jadi seperti gelang, bukan lagi tembaga panjang dililit pada lengan dan betis. Kita tidak mahu perhiasan kebanggaan ini pupus begitu saja. Rasung dan royang memang cukup unik dan dikagumi pelancong asing," katanya.
Dawos tidak mahu persepsi generasi muda terhadap perhiasan tradisional peninggalan nenek moyang mereka itu melenyapkan rasung dan royang, selepas sembilan wanita yang tegar memakainya sudah tiada lagi suatu hari nanti.
Baginya, orang ramai termasuk masyarakat Bidayuh sendiri hanya mampu melihat aksesori unik itu dalam gambar termasuk yang disiarkan akhbar saja andai tiada lagi generasi muda sanggup memakainya.
Sumber: BH Online