dikemaskini Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat hari ini menandatangani Deklarasi Kuching yang menggariskan janji gabungan parti itu untuk meningkatkan kualiti hidup warga Sabah dan Sarawak dan menghormati Perjanjian Malaysia 1963.
Peristiharan berkenaan ditandatangani ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ketua parlimen DAP Lim Kit Siang di Chong Ling Park, Kuching petang ini.
Deklarasi tujuh perkara itu, diumumkan sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, antara lain menggariskan janji Pakatan sekiranya berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-13
Berikut adalah isi kandungan perisytiharan tersebut:

Kerjasama bersekutuKami akan memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.

Perwakilan yang adilKami akan mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

KewarganegaraanKami akan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.

Pengiktirafan hak ke atas Tanah Adat

Kami akan menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.

Kecekapan dan kemandirian Sarawak dan SabahKami akan mengiktiraf perlantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh Setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

Keadilan dalam isu minyakKami akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari 5% ke 20%.

Pembangunan sekataKami akan membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.