Akibat pertembungan perlawanan bola sepak Thailand lawan Harimau Malaya dan ketidaksukaan rakyat Sarawak terhadap pemimpin PKR telah menyebabkan ceramah Merdeka Rakyat AMK Sarawak "Selamatkan Kota Samarahan Dari BN" yang diadakan di Kampung Sindang Baru, Samarahan yang dihadiri Che'gu Bard @ Badrul dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Nazib Ahmad, Arip Ameran dan Zulhaidah Suboh di Samarahan TIADA mendapat sambutan. Dianggarkan hanya sekitar 40 orang sahaja yang hadir berbanding jumlah kerusi yang disediakan berjumlah 400 buah kerusi.
Menurut pejabat Polis Samarahan, ceramah Merdeka Rakyat itu telah diadakan secara haram tanpa sebarang permohonan permit.
Ceramah Merdeka Rakyat AMK Sarawak yang sepatutnya diadakan pada jam 8.00 malam itu terpaksa ditangguhkan beberapa jam akibat ketiadaan sambutan daripada penduduk Kamung Sindang Baru, Samarahan. Pengerusi penganjur telah beberapa kali memohon maaf kepada penduduk yang hadir dan tetamu jemputan di atas ketiadaan sambutan yang hebat.
Pada mulanya penganjur telah mencadangkan kepada penceramah yang hadir untuk membatalkan ceramah Merdeka Rakyat itu atas faktor ketiadaan sambutan. Namun, disebabkan nafsu yang membara mahu mengumpulkan 1 juta peserta ke Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kuala Lumpur pada 12 Januari ini, Che'gu Bard tetap meneruskan ceramah tersebut dalam keadaan serba salah.
Manakala, bagi 3 orang AMK Sarawak yang hadir bagi mengiringi Che'gu Bard, mereka tiada pilihan terpaksa juga berceramah walaupun dalam suasana yang tidak diingini. Malu tetap malu kepada penduduk Kampung Sindang Baru dan Che'gu Bard. Turut sama hadir, Pak Husin bekas calon Parlimen Samarahan dan Dr Ramli Ahmad, Ketua Cabang Keadilan Samarahan.
Seperti biasa, ceramah Merdeka Rakyat merupakan pentas pemimpin PKR untuk menabur fitnah dan pembohongan tahap melampau ke atas pemimpin BN khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Ketua Menteri Sarawak Pehin Seri Abdul Taib Mahmud serta beberapa pemimpin BN yang lain yang dirasakan sesuai dan mempunyai modal untuk difitnah.
Selain Pengasas SAMM, Che'gu Bard juga calon PKR di P.131 Rembau yang akan bertanding menentang Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim dalam PRU-13 nanti. Untuk memastikan mempunyai tahap keyakinan yang kuat berhadapan pemimpin BN, beliau perlu mendapatkan sokongan daripada anak-anak muda.
Seperti kebanyakan kandungan ceramah pemimpin PKR, tema UBAH pada PRU-13 menjadi pilihan pemimpin SAMM dan AMK Sarawak di Kampung Sindang Baru, Samarahan. Bertemakan Selamatkan Samarahan daripada BN adalah satu lagi hasrat PKR mahu mencetuskan gangguan psikologi kepada rakyat Samarahan dan Sarawak. Namun, secara keseluruhannya ucapan berkaitan UBAH ini hanyalah persepsi PKR dan tidak bersandarkan fakta.
Isu kekurangan pembangunan luar bandar yang diketengahkan penceramah PKR itu merupakan suatu taktik psikologi khususnya kepada penduduk Kampung Sindang. Ini sangat bertentangan dengan apa yag telah diterima penduduk Kampung Sindang Baru dan kawasan Samarahan keseluruhannya yang kini pesat membangun sebagai pusat pendidikan Negeri Sarawak.
Jalan raya, kemudahan elektrik dan air serta telefon di samping sekolah, hospital, tempat-tempat pendidikan seperti UNIMAS, UiTM dan Institut Perguruan Samarahan serta Ibu Pejabat Polis Samarahan dan Bomba telah menjadikan Kota Samarahan membangun dengan pesat. Ini sangat bertentangan dengan apa yang mereka utarakan dalam ceramah itu.
Sejak dari dahulu lagi, bekas calon Asajaya, Arip bin Amera yang juga peguam syariah yang pernah mencetuskan kontroversi di Pustaka Negeri Sarawak bulan lepas akibat ketidakpuasan hatinya akibat jemputan ceramah telah dibatalkan telah membangkitkan isu jambatan Muara Tuang. Kerajaan sedia maklum akan keperluan jambatan Muara Tuang itu, tetapi lebih mengutamakan keperluan jambatan di Sungai Bulu yang menghubungkan Asajaya dan Sebuyau/ Simunjan yang dilihat sebagai keperluan mendesak. Kerajaan telah meluluskan pembinaan jambatan itu dan kini sedang dalam pembinaan.
Adalah tidak lengkap sekiranya pemimpin PKR itu tidak menyerang kepimpinan Ketua Menteri Sarawak dengan tuduhan yang disifatkan melampau dan keterlaluan. Arip Ameran dan beberapa pemimpin PKR tempatan di Samarahan sudah lupa bahawa jika tidak kerana jasa dan sumbangan Ketua Menteri Sarawak dalam memperjuangkan kebajikan pendidikan dahulu untuk belajar di UiTM dan universiti tempatan maka tidak akan ada mereka dan anak-anak mereka dapat belajar di peringkat tinggi dan menjadi peguam syariah. Ini boleh dikatakan kacang lupakan kulit.
Isu lain yang dibangkitkan PKR itu dalam membohongi penduduk Kampung Sindang Baru Samarahan ialah tanah NCR yang mana mereka sendiri pun tidak tahu fakta yang mereka perkatakan. Kroni pemimpin BN Sarawak dan Persekutuan tanpa merujuk kepada kroni pemimpin PKR sendiri seperti Anwar Ibrahim dengan isteri dan anaknya, Lim Kit Siang berkroni dengan anaknya, Lim Guan Eng dalam DAP serta Nik Aziz dengan anaknya Nik Abduh dalam PAS. Malah kabinet bayangan mereka kebanyakannya bersifat kekeluargaan.
Dalam ceramah itu juga, Che'gu Bard mengambil kesempatan menjual bahan-bahan fitnah kepada rakyat Samarahan dengan harga jualan sebanyak RM15 satu set.
Kesimpulan di sini, rakyat Sarawak menolak kehadiran PKR di Samarahan dan di tempat-tempat lain bersandarkan kepada intipati ceramah mereka yang 100 peratus bersifat menghasut dan fitnah.