by Harry Ilias. Posted on June 22, 2013, Saturday
TAJAAN: Pengurus Dagangan Kanan Lea Sports Centre Alice Kho (lima kanan) menyerahkan tajaan kepada wakil media merangkap wartawan The Borneo Post, Ting Tieng Hee sambil disaksikan oleh Francis (enam kanan) di MSNS semalam.
KUCHING: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bertegas tidak akan membenarkan atlet kabaddi wanita Sarawak mewakili Perlis pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur.
Pengarahnya Francis Nyurang Ding berkata, adalah tidak wajar sekiranya beliau membenarkan atlet Sarawak mewakili negeri lain terutama pada sukan paling berprestij di negara itu.
"SUKMA adalah sukan paling tinggi di Malaysia dan kita tidak sepatutnya menggunakan kejohanan tersebut sebagai platform pendedahan atlet.
"Ini kerana MSNS yang akan bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu terhadap atlet yang menyertai sukan tempur seperti kabaddi," katanya semasa majlis penyerahan tajaan kepada wakil media di pejabat beliau semalam.
Tegas Francis lagi, MSNS perlu menyediakan alasan kukuh kepada kerajaan negeri dan rakyat Sarawak sekiranya atlet kabaddi wanita berjaya memenangi pingat pada SUKMA kali ini.
"Pada SUKMA Melaka 2010, atlet Sarawak yang mewakili Johor telah merangkul dua pingat emas. Ini amat merugikan kontinjen negeri dan kita tidak mahu perkara sama berulang lagi pada kejohanan kali ini.
"Seperkara lagi, berdasarkan peraturan kejohanan SUKMA, mana-mana atlet hanya boleh mewakili negeri lain sekiranya mereka telah menetap di negeri terbabit selama dua tahun," jelas beliau.
Sehubungan itu, Francis melahirkan rasa kesal terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) yang membenarkan Perlis menggunakan atlet Sarawak tanpa berbincang dengan beliau terlebih dahulu.
"Perkara ini tidak betul kerana MSN sepatutnya berbincang dengan MSNS terlebih dahulu. Pada pandangan saya, badan induk sukan itu perlu menilai kembali peraturan berhubung SUKMA agar masalah seperti ini tidak lagi timbul di masa akan datang," katanya.
Menurut Francis, beliau juga telah berbincang dengan Presiden Persatuan Kabaddi Sarawak (PKS) Ramachandran Ramasamy berhubung perkara tersebut dan pihaknya bersetuju tidak akan membenarkan atlet wanita terbabit mewakili Perlis.
Dalam perkembangan berkaitan, Francis berkata kontinjen Sarawak telah bersedia untuk menghayunkan cabaran pada SUKMA XVI di Kuala Lumpur pada 28 Jun hingga 7 Julai.
Biarpun tidak menetapkan bilangan sasaran pingat emas, Francis yakin Sarawak mampu memperbaiki pencapaian mereka berbanding pada SUKMA 2011.
"Kita tidak meletakkan sasaran tinggi kerana banyak sukan baharu diperkenalkan pada edisi kali ini.
"Namun, kita mempunyai peluang cerah untuk merangkul emas dalam beberapa acara pilihan seperti judo, bola tampar, lawan pedang dan gimnastik," katanya.
Katanya, MSNS akan berusaha meningkatkan mutu sukan-sukan baharu di sini sebagai persediaan menghadapi kejohanan SUKMA di masa akan datang.
Atlet akan mula menyertai kem kontinjen SUKMA esok di Kompleks Sukan Jabatan Belia dan Sukan Sarawak (JBS) manakala majlis penyerahan bendera akan dirasmikan oleh Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin pada hari Isnin.
Sarawak hanya menyertai 15 dari 20 acara sukan yang dipertandingkan iaitu bola tampar dewan (lelaki dan wanita), judo, pingpong, gimnastik artistik, futsal, lawan pedang, muaythai, bina badan, bola baling, bola keranjang (lelaki dan wanita), kriket, sofbol, ragbi, silambam dan kabaddi.
- Next Entry >>
To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.