Sabtu, 3 November 2012

11 di marudi sarawak - Google Blog Search

11 di marudi sarawak - Google Blog Search


Projek Dialog – PENAN: 25 TAHUN SESUDAH <b>MARUDI</b>, JANJI <b>...</b>

Posted: 10 Sep 2012 02:42 AM PDT

Oleh Dr Mohd Faizal Bin Musa

Felo Penyelidik

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)

Universiti Kebangsaan Malaysia

Hujung minggu ini, iaitu sehari sebelum negara menyambut Hari Malaysia; satu aksi renungan yang mendalam perlu dilakukan oleh kita semua, khususnya buat penganut agama Islam. Dua puluh lima tahun yang lalu, satu rayuan yang sangat mengharukan telah dilaung dari Baram. Pada 15 September 1987, kaum-kaum asli Sarawak mengadakan sebuah bengkel, lanjutan dari bengkel pertama mereka yang sebelumnya berlangsung pada 15 dan 16 Julai 1987. Bengkel yang dimaksudkan bertujuan untuk membincangkan masalah mereka dan juga untuk menyediakan satu pengisytiharan yang disepakati antara kaum-kaum asli dari komuniti yang berlainan. Malam 15 September tersebut, satu mesyuarat khas dianjurkan untuk membincangkan masalah yang dihadapi orang Penan. Ini memandangkan masyarakat Penan adalah penghuni hutan, hidup tanpa perkampungan teratur dan sangat bergantung kepada hasil hutan. Penan seperti yang kita semua maklum, merupakan kaum yang paling terjejas ekoran kegiatan pembalakan di Sarawak. Sebelum tengah malam, kira-kira detik menghampiri Hari Malaysia yang bersejarah tersebut – enam puluh orang peserta mewakili lima belas komuniti yang berlainan; terdiri daripada kaum-kaum asli Kayan, Kenyah, Kelabit, Iban, Berawan, dan Penan memutuskan satu deklarasi yang dinamakan Pengisytiharan Bengkel Kedua Kaum Asli 15 September 1987.

Pengisytiharan tersebut memuatkan penyataan rasmi berbunyi:

Kaum, orang asli dari komuniti kaum asli yang berlainan di Sarawak berjumpa pada 15 September di Marudi, Baram.

• Mengenal pasti bahawa kaum-kaum asli dan nenek moyang mereka telah menetap di atas tanah Hak Adat kaum Asli (NCR – Native Customary Rights) sejak beberapa generasi.

• Dan mengenal pasti bahawa kaum-kaum asli dan komuniti-komuniti mereka bergantung sepenuhnya kepada tanah NCR untuk terus hidup.

• Dan mengakui bahawa kaum-kaum asli dan komuniti-komuniti mereka sedang dan akan terus menghadapi masalah-masalah serius akibat kegiatan pembalakan secara sebarangan yang giat dijalankan oleh beberapa syarikat kayu balak di atas tanah NCR mereka.

• Dan mengakui bahawa banyak lesen kayu balak atau pembalakan telah diluluskan secara sebarangan bagi kawasan tanah yang meliputi tanah NCR.

• Dan mengenalpasti bahawa negeri dan agensi-agensi kerajaan yang berlainan tidak mengambil sebarang langkah untuk mempertahankan NCR. Dengan ini kami memutuskan seperti berikut :-

1. Semua lesen pembalakan /kayu balak yang meliputi tanah NCR dan/ atau sempadan rumah panjang yang berlainan dibatalkan dan/ atau ditarik balik;

2. Kerajaan dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan mengiktiraf hak adat tanah kami ke atas tanah kami;

3. Semua sempadan komuniti-komuniti kaum asli/rumah panjang yang berlainan, patut ditentukan dan ditandakan bagi mengelakkan sebarang peselisihan diantara mereka;

4. Polis harus bertindak secara adil dan tidak kelihatan sebagai alat yang dipergunakan bagi menjaga kepentingan syarikat-syarikat kayu balak;

5. Pampasan dibayar bagi semua kerosakan kepada tanah-tanah NCR, tanaman, tempat perkuburan, dan sumber-sumber penting lain, yang disebabkan oleh syarikat-syarikat kayu balak;

6. Sekatan-sekatan kami adalah sah kerana didirikan di atas tanah kami sendiri untuk mempertahankan hak-hak kami;

7. Setiap ketua komuniti patut bekerjasama dan memperjuangkan kepentingan komuniti mereka masing-masing dan bukan kepentingan mereka masing-masing;

8. Pembangunan tidak harus merosakkan alam semulajadi dan alam sekitar kami. Pembangunan mesti mengiktiraf hak adat kaum asli dan tidak merampas hak-hak kami. Pembangunan kepada kaum Penan tidak bermakna bahawa mereka harus menetap di satu tempat. Pembangunan kepada kaum Penan bermakna bahawa mereka mereka mempunyai hak untuk memilih dan mengekalkan cara hidup mereka;

9. Berita akhbar patut disampaikan secara adil dan bertanggungjawab dan bukan berat sebelah. Para pemberita patut melaporkan perkara yang benar dan menjalankan tugas mereka dengan sempurna;

10. Dan kami semua bersetuju menyertai Jawatankuasa Tindakan Hak-hak Kaum Asli (NRAC – Native Rights Action Committe) yang berasaskan objektif-objektif berikut :-

i) berfungsi sebagai satu badan penasihat dan pendidik kepada komuniti-komuniti kaum asli dengan mengumpul dan menyebarkan maklumat daripada dan kepada komuniti-komuniti kaum asli yang lain;

ii) mengenal pasti dan mendefinisikan hak-hak kaum asli;

iii) mengambil tindak untuk memajukan, menasihatkan, mengumumkan dan menguatkuasakan hak-hak ini;

iv) menasihatkan dan menghulurkan segala bantuan yang perlu kepada kaum-kaum asli berhubungan dengan hak-hak ini, dan

v) mengambil sebarang tindakan yang perlu demi kebajikan dan kemajuan kaum-kaum asli.

Pengisytiharan di atas diluluskan oleh dua puluh orang wakil kaum asli yang telah menghadiri bengkel kedua tersebut. Mereka berasal dari komuniti rumah panjang Batu Belah (Tutoh), Linei (Tutoh), Long Napir (Limbang), Uma Bawang (Baram), Long Bangan (Tutoh), Long Leng (Layun), Long Belok (Apoh), Long Lilim (Patah), Long Kawi ( Patah), Long Itam (Patah), Long Lutin (Patah), Long Tepen (Pelutan), Long Paloh (Layun), Long Lateik (Apoh), Long Iman (Tutoh), Long Daloh (Patah), dan Sungai Abang (Akah). Bengkel di ambang Hari Malaysia itu juga memutuskan untuk menyokong penubuhan Persatuan Penan Sarawak.

Beberapa bulan sebelum Pengisytiharan Bengkel Kedua Kaum Asli 15 September tersebut, iaitu pada 30 Julai 1987, kaum Penan telah pun mendapat perhatian masyarakat umum apabila empat orang dari kaum Penan, dua kaum Kelabit, dua dari Kayan, dua dari kaum Lum Bawang, seorang Iban dan seorang suku Kenyah datang berjumpa dengan Timbalan Pedana Menteri Malaysia waktu itu, Abdul Ghafar Baba, serta beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri yang juga anggota kabinet dari Sarawak. Anggota Kabinet dari Sarwak yang ditemui antara lain ialah Datuk Leo Moggie, Datuk Amar Stephen Young dan Dr. Leo Michael Toyad. Janji 'orang-orang besar pemerintah' adalah untuk membawa tuntutan mereka ini kepada pihak yang sepatutnya. Bahkan mereka, kaum Penan dijanjikan oleh kerajaan kerajaan pusat yang mahu masalah kaum tersebut diselesaikan secara aman (Lihat Watan 30 Julai 1987).

Sesungguhnya nasib yang dialami kaum Penan harus mendapat pembelaan sewajarnya. Sebagai golongan yang tertindas, rayuan-rayuan mereka kepada syarikat pembalakan sama sekali diabaikan. Dalam tahun 1987, Sahabat Alam Malaysia (SAM) pernah melaporkan bagaimana tanah-tanih tanaman milik kaum Penan di Long Kevok dan Long Leng (di Sungei Layun, Tutoh) dan Long Jenalong (di Apoh) telah dimusnahkan akibat aktiviti syarikat-syarikat pembalakan. Apa juga rayuan daripada mereka supaya pihak pembalak membayar gantirugi sama sekali tidak diendah.

Paling memilukan, kerakusan golongan kapitalis menjarah dan memperbudakkan kaum asli telah berlangsung sekian lama. Antara rakaman yang kurang diketahui ialah laporan Ketua Pegawai Perubatan dari Bahagian Keempat Sarawak, Dr Andrew Kiyu selepas beliau mengunjungi Sungei Layun di Tutoh dalam tahun 1983. Beliau menjelaskan bagaimana "Kawasan sekitar hutan telah dimusnahkan, kaki-kaki bukit telah disodok oleh traktor-traktor. Aliran air yang dulunya mengalir jernih dan bersih dari gunung kini bertukar warna kuning dan tebal dengan lumpur selepas hujan, haiwan-haiwan jarang ditemui. Apa lebihan yang diterima oleh Kaum Penan? Kepingan zink lebihan yang tidak mahu dipakai lagi dari kem-kem balak; beberapa ratus ela persegi tanah yang telah dikorek, kononnya akan menjadi tapak pembinaan rumah panjang. Adakah ini suatu yang bernilai?" (Lihat Utusan Pengguna edisi April 1987).

Masyarakat Penan juga telah diperdayai syarikat-syarikat pembalakan yang menipu mereka supaya menurunkan cap-cap jari pada perjanjian yang tidak mereka fahami dan mendatangkan keburukan kepada mereka. Sebagai misalan, salah satu perjanjian antara kaum Penan di Ulu Tutoh dan Wan Abdul Rahman Timber Sdn Bhd yang ditulis dalam bahasa Inggeris menyebut: "Kaum Penan tidak harus membuat aduan berhubung dengan pencemaran air minuman atau apa juga bentuk kegunaan air daripada sungai-sungai, anak-anak sungai dan terusan di dalam kawasan itu, kerosakan atau gangguan terhadap haiwan liar, hasil hutan atau pertumbuham hutan."

Hampir tiga tahun setelah Abdul Ghafar Baba, Datuk Leo Moggie, Datuk Amar Stephen Young dan Dr. Leo Michael Toyad berjanji; mesyuarat Persatuan Penan Sarawak di Marudi, Baram pada 20 dan 21 Januari 1990 memutuskan tiada janji telah ditepati.

Mesyuarat tersebut telah mengenalpasti sebelas perkara untuk diatasi dan disuarakan kepada orang awam. Sebelas perkara itu adalah:

1. Aktiviti pembalakan masih lagi diteruskan dan bertambah giat dijalankan di semua kawasan. Banyak kawasan yang dimasuki semula beberapa kali dan mempunyai peluang yang tipis untuk subur semula.

2. Masalah pencemaran sungai dan anak sungai yang menjadi pergantungan untuk bekalan air dan untuk membasuh juga bertambah teruk.

3. Pemupusan sumber makanan (tumbuhan dan hidupan liar) mengakibatkan berlakunya kebuluran dan kekurangan zat di kalangan Penan.

4. Penyakit seperti tibi, penyakit kulit dan sakit perut menjadi lebih kerap dan kian merebak jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya.

5. Kawasan Hutan Simpan Komuniti yang dipohon oleh kaum Penan untuk keperluan mereka sudahpun dimasuki dan ditebang walaupun sementara menunggu pertimbangan dan kelulusan pihak berkuasa berkenaan.

6. Bantuan pembangunan dan janji-janji kerajaan untuk mewujudkan pusat perkhidmatan bagi menyediakan kemudahan dan perkhidmatan penting tidak diberikan atau tidak dipenuhi.

7. Jawatankuasa Kabinet Negeri Mengenai Hal Ehwal Penan tidak membuat sebarang lawatan untuk menyiasat keadaan kaum Penan dan tidak menunjukkan usaha yang ikhlas untuk melakukannya.

8. Hak Penan untuk menggunakan tanah, hutan dan sumbernya semakin berkurang. Ini adalah kerana kegiatan membalak dan kewujudan Taman Negara seperti Taman Negara Mulu.

9. Nampaknya terdapat sedikit atau tiada simpati dan keikhlasan pada sesetengah pegawai dalam mengendalikan perkara-perkara yang berkait dengan Penan.

10. Penan juga kerap dianggap sebagai penjenayah, anti kerajaan dan anti pembangunan oleh sesetengah ahli politik dan individu di dalam kerajaan, kerana mereka sering membantah aktiviti yang menjejaskan kehidupan mereka di atas tanah milik mereka sendiri.

11. Penan sering dimalukan dan diancam kerana bantahan mereka terhadap syarikat pembalakan dan perjuangan mereka untuk melindungi hutan dan tanah mereka di kawasan penempatan sendiri. Lebih memalukan ialah undang-undang yang tidak adil seperti Seksyen 90B, Ordinan Hutan Bahagian 126. Jentera dan sumber negeri telah digunakan untuk memberikan perlindungan kepada syarikat kayu balak yang menyebabkan kerosakan kepada tanah dan harta-benda serta gangguan ekologi.

Dengan demikian; mesyuarat memutuskan dan merayu kerajaan, kumpulan serta individu berkenaan supaya :

1. Menghentikan segera aktiviti pembalakan di semua kawasan penempatan kaum Penan.

2. Melarang kemasukan semula syarikat balak ke kawasan yang lebih jauh di kawasan Penan kerana ini akan menambahkan lagi kemusnahan terhadap kawasan hutan.

3. Menghentikan pembalakan di kawasan Penan kerana kawasan ini membentuk kawasan tadahan hujan yang penting bagi kebanyakan lembah sungai yang utama untuk mengelakkan bencana ekologi.

4. Mengambil langkah segera untuk menyediakan kemudahan asas seperti paip untuk bekalan air dan tangki air untuk memastikan bekalan air bersih kepada Penan.

5. Mengambil langkah segera untuk menjalankan program tinjauan kesihatan dan langkah untuk meningkatkan serta menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk Penan di kawasan penempatan mereka.

6. Kerajaan mesti mempercepatkan proses dan meluluskan permohonan Penan bagi Hutan Simpanan Komuniti untuk melindungi sesetengah kawasan hutan dari ditebang.

7. Bantuan pembangunan dan galakan yang dijanjikan kepada Penan semenjak beberapa tahun yang lalu haruslah segera dilaksanakan. Semua penempatan Penan haruslah dilengkapkan dengan semua kemudahan asas seperti klinik dan sekolah.

8. Membatalkan atau menarik balik semua tuduhan terhadap Penan dan kaum asli yang lain di bawak Seksyen 90B (Ordinan Hutan, Bahagian 126). Undang-undang ini tidak adil dan tidak wajar dikenakan ke atas penduduk asli dan perlu dimansuhkan.

9. Jawatankuasa Kabinet Negeri Mengenai Hal Ehwal Penan perlu dibubarkan kerana tidak berkesan dan tidak ikhlas dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Penan di negeri itu. Ia hanyalah ditubuhkan untuk mengelirukan orang ramai dan kumpulan-kumpulan yang mengambil berat tentang nasib penghuni hutan.

10. Kerajaan dan agensinya haruslah menghubungi Penan dalam setiap projek pembangunan yang melibatkan mereka dalam kawasan masing-masing.

11. Menyeru semua ahli politik, pemimpin kerajaan atau individu supaya berhenti mengecap Penan sebagai anasir subversif kerana kenyataan itu tidak berasas dan tidak berperasaan. Sebaliknya, tuduhan itu perlu ditujukan kepada pengeluaran lesen balak serta yang melalui tanah Penan dan menyebabkan kerosakan dan pemusnahan harta-banda Penan.

Resolusi mesyuarat Persatuan Penan Sarawak di atas wajar dinilai sebagai satu rekod 'prestasi' kaum penguasa terhadap masyarakat tertindas. Dalam tahun 2012, dua puluh lima tahun sesudah Pengisytiharan Bengkel Kedua Kaum Asli 15 September 1987, kita membaca isi berita menjengkelkan seperti yang dilaporkan oleh Borneo Post 10 Februari 2012;

"What we do is collect reports on all the good and bad things written or said about the country and send them back to Malaysia. Issues range from politics to petty issues like animals in zoos and the Penans in Sarawak."

(Lihat http://www.theborneopost.com/2012/02/10/embassy-wary-of-ngos-out-to-discredit-country/)

Kenyataan Malaysian High Commissioner ke United Kingdom, Datuk Seri Zakaria Sulong tersebut mengundang kecaman segelintir masyarakat antarabangsa kerana dibaca oleh ramai pihak sebagai menyamakan nasib kaum Penan yang tertindas dengan monyet kera di zoo.

Selain itu, kita juga terpaksa menghadap tajuk berita yang berbunyi 'Rape of Penan Women Did Occur' dengan isi berita yang menyedihkan;

"A special committee, set up by the Women, Family and Community Development Ministry, revealed that sexual abuses against Penan women and girls by timber workers as reported by The Star last year did take place in the Baram district. The special committee, set up last October to investigate the allegations, documented at least eight cases of rape and molest of Penan women and girls in its report. The report said one of the victims was raped by a timber worker when she hitched a ride in the company's vehicle to go to school."

(Lihat http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/9/11/nation/4696153&sec=nation)

Isu Penan sewajarnya sangat dekat di hati orang mukmin kerana mesej sebesar, sejagat dan sebenar Islam sewaktu diserukan oleh Rasulullah saw di kota Mekah ialah untuk membebaskan golongan tertindas dari penganiayaan pihak penguasa yang zalim. Kita mungkin sayu hati membaca tajuk berita berbunyi 'Penan Muslims Set Up Blockade at Bintulu, Six Held' pada 18 Mei 2012 lalu dengan isi beritanya;

Six Penan Muslims were detained by police last Wednesday under suspicion of setting fire to a plantation where they had set up a blockade to demand that the land be returned to their families. The six were picked up by the police on May 16 after the plantation developer, Sebekai Plantation Sdn Bhd, alleged that they had set fire to the plantation

(Lihat http://www.malaysiakini.com/news/198312).

Tiga tajuk berita dalam tahun 2012 di atas tidak menunjukkan ada pemulihan prestasi sejak 1987. Barangkali Perutusan Perdana Menteri untuk Hari Malaysia 2011 yang berbunyi, 'kita di ambang pedati yang sedang berpacu deras untuk sampai ke destinasi sebagai sebuah negara maju sepenuhnya' adalah satu khayalan, jenaka dan kabus pagi yang kian sirna.

Untuk Penan yang jumlahnya kurang lebih sepuluh ribu orang, mungkin, Hari Malaysia 2012, hanyalah satu lagi 15 dan 16 September yang tiada makna, satu lagi peristiwa malang yang tidak wajar diraikan kerana Pengisytiharan Bengkel Kedua Kaum Asli 15 September 1987 dua puluh lima tahun lalu sudah menjadi serpihan nota sejarah yang tidak dihiraukan. Kehidupan mereka tidak dianggap tiada nilai. Kemanusiaan sudah kian tiada. Perlindungan yang sedia ada tidak melindungi mereka secukupnya. Seksyen 5(1) Kanun Tanah Sarawak yang mengiktiraf hak penduduk asli sepertimana yang wujud pada 1 Januari 1958 tiada terpandang.

Di sebalik dakwaan janji-janji kemajuan yang telah ditepati, mitos nikmat merdeka yang mengghairahkan, bayangkan, sebuah komuniti menghampiri selangkah lagi kepada kepupusan. Seperti yang dilaporkan oleh badan terkenal National Geographic, "the Penan face fewer and fewer resources, and their culture itself is on the verge of extinction"

(Lihat http://www.nationalgeographic.com/features/00/earthpulse/rainforest/gallery2.html).

Hujung minggu ini, saat sebahagian besar rakyat Malaysia bercuti panjang terdapat satu siri tuntutan yang belum terlunas, terdapat sehimpunan janji yang belum sungguh ditepati, dan terdapat kaum tertindas yang masih belum dapat mengecap nikmat kemakmuran Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads