Selasa, 4 Oktober 2011

11 di matu sarawak - Google Blog Search

11 di matu sarawak - Google Blog Search


Terendak <b>Matu</b>: Cenderahati pilihan ramai « Suara Anak <b>Sarawak</b>

Posted: 04 Oct 2011 01:21 AM PDT

Bandar Mukah di Sarawak sangat menonjol dengan seni bina bangunan berbumbungkan 'terendak gergasi' suatu identiti etnik Melanau iaitu salah satu kaum di Bumi Kenyalang.

Di sebalik keunikan bentuk kon terbalik itu di puncak bangunan utama seperti Menara Pehin Setia Raja, bangunan "RECODA", Masjid Setia Raja dan beberapa bangunan komersial, ideanya datang dari terendak.

Bangunan ikonik Mukah - Menara Pehin Setia Raja

Terendak Matu merupakan salah satu daripada terendak paling popular di negeri ini selain terendak Igan.

Daerah Matu di dalam bahagian Mukah sangat sinonim dengan Terendak Matu iaitu sejenis topi tradisional dihasilkan oleh wanita-wanita etnik Melanau di beberapa kampung di situ.

Masjid Setia Raja, Mukah

Pada zaman dahulu, Terendak Matu digunakan oleh masyarakat Melanau terutama perempuan dewasa sebagai pelindung kepala daripada sinaran matahari semasa keluar rumah.

Kalau dahulu ia hanya dikenali segelintir kecil di kalangan penduduk sahaja kerana ia dijual secara kecil-kecilan di kampung-kampung.

Bumbung terendak bangunan ibupejabat RECODA

Lama-kelamaan penggunaan semakin meluas sehingga ke daerah-daerah lain seperti Dalat dan Mukah, sebelum berkembang ke bahagian Sibu, Bintulu dan Miri.

Sejak itu juga Terendak Matu menarik perhatian banyak pihak kerana nilai tempatan serta keunikan tersendiri.

Menyedari permintaan ramai termasuk terutama dari pihak agensi kerajaan dan swasta ia kemudian dipelbagaikan saiz.

Gambar menunjukkan Terendak Matu dalam tiga saiz berlainan

Tiga saiz berbeza adalah untuk disesuaikan bagi tujuan cenderahati atau buah tangan kepada pelancong terutama dari Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Produk kraftangan yang diwarisi dari generasi ke generasi keluarga Melanau itu dipasarkan secara meluas melalui pameran dan jualan dalam pelbagai upacara rasmi kerajaan.

Terendak Matu bermotifkan logo 1Malaysia

Dari segi buatan hasil kerja tangan terhadap terendak ini berkelebihan dari segi seni dan corak boleh juga dijadikan perhiasan dinding dalam rumah, hotel, restoran dan lapangan terbang.

Sementara yang kecil boleh digantung dalam kereta atau sebagai rantai kunci. Dengan itu, tidak hairanlah ia menjadi antara barangan cenderahati pilihan ramai.

Terendak Matu mini sebagai cenderahati

Dara bt Kimi, 32, salah seorang pakar buat terendak tersebut, mewarisi bakat ibunya sejak berusia 15 tahun lagi.

Dara merupakan salah seorang daripada anak perempuan keluarga Kimi yang giat dalam perusahaan tersebut.

Menurut anak ketujuh daripada sepuluh adik-beradik ini, dia mula berjinak-jinak dengan kegiatan membuat terendak pada tahun 1996.

"Masa itu saya tamat tingkatan tiga. Atas minat sendiri saya mula mempelajarinya daripada ibu dan kakak. Di antara kami adik-beradik kakak kedua dan kelima saya paling mahir," kata Dara.

Menurut Dara, hasil kerja mereka sering mendapat tempahan daripada pihak kerajaan, swasta dan persendirian terutama setiap kali menjelang Pesta Kaul di Mukah.

Dara sedang tekun menyiapkan terendak yang ditempah oleh pihak kerajaan untuk dijadikan cenderahati kepada golongan kenamaan, sempena Pesta Kaul 2011

Pada musim tertentu katanya, dia memang sibuk seperti pertengahan tahun lalu terendak kecil untuk  cenderahati pernah mendapat tempahan sebanyak 200 buah daripada sebuah universiti tempatan. Dan sejak awal tahun ini bertungkus-lumus pula menyiapkan tempahan baru.

Ketika kunjungan saya ke situ, Dara sedang tekun menyiapkan terendak ditempah oleh pihak kerajaan untuk dijadikan cenderahati kepada golongan kenamaan sempena Pesta Kaul 2011.

"Bagaimanapun anyaman dibuat oleh orang lain, sebab tidak mampu menyiapkan terlalu banyak. Dia hanya melakukan sulaman. Sulaman termasuklah logo dan tulisan.

"Membuat logo dan tulisan dilakukan mengikut contoh yang disediakan oleh penempah. Inilah bahagian yang paling sulit dilakukan.

"Sulaman yang digabungkan harus betul dari segi susunan. Sedikit kesilapan saya terpaksa menarik sulaman dan memperbetulkanya," katanya.

Mengenai modal, kosnya hanyalah untuk membeli manik, rotan (RM6 bagi buluh sepanjang kira-kira dua depa) labuci dan buluh.

"Ada masalah sedikit apabila musim banjir kerana buluh akan mati dan bekalan terhad. Walau apa pun saya membelinya daripada penduduk kampung yang ada menyimpannya,"ujarnya.

Salah sebuah kampung di Matu yang menghasilkan Terendak Matu

Adalah dipercayai kerja menghasilkan kraftangan ini bermula sejak 100 tahun dahulu. Ibu Dara iaitu Terong bt Razak merupakan salah seorang yang mendapat ilmu membuat terendak Matu turun temurun.

Ditanya mengenai harga ia bergantung kepada  saiz dan ukiran.  Bermula dari serendah RM6 sehinggaah RM120. Tetapi jika cara membuatnya sulit maka harganya lebih mahal lagi. Demikian kata gadis berwajah manis ini.

Begitulah Terendak Matu, tidak ramai mempunyai bakat atau kemahiran membuatnya. Kerana seni sebegini adalah suatu usaha menyatukan berbagai motif supaya satu maksud sempurna dapat disampaikan.

Sudah pasti itu hanya diketahui oleh orang yang sudah banyak belajar dan mahir melakukannya. Mesej yang disatukan harus mempunyai satu idea selari. Paling popular di kalangan penempah ialah logo 1Malaysia, bendera Sarawak, imej burung kenyalang dan bunga raya.

Pembuat seperti Dara akan memilih dan menyusun sulaman menjadi satu ukiran lengkap bagi menyalurkan maksud.

Dia harus memilih warna bahan seperti manik, labuci dan benang pada kedudukan sesuai yang membolehkan terendak itu tampak unik.

Hanya dengan kegigihan barulah pembuat mengetahui keseluruhan rekaan dalam satu terendak terbabit. Jelas tidak seperti semudah kita melihatnya, bukan senang  untuk menyalurkan satu maksud dengan suatu keunikan tersendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads