SEKUMPULAN anggota bomba memeriksa pesawat jenis Twin Otter milik MASwings yang terbabas semasa mendarat di Lapangan Terbang Marudi, Sarawak semalam.
Seramai 17 penumpang termasuk seorang juruterbang nyaris maut apabila sebuah pesawat ringan jenis Twin Otter milik MASWings terbabas sebaik mendarat di Lapangan Terbang Marudi di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 2.33 petang, pesawat MH3562 yang dalam penerbangan dari Miri ke Marudi tersasar sejauh 10 meter dari hujung landasan dan tergelincir ke dalam parit sedalam satu meter.
Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan Abu Bakar Mokthar berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 2.38 petang, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika cuaca dalam keadaan baik dan pesawat terbabit dipercayai terbabas semasa juruterbang melakukan pendaratan.
"Semua penumpang dan anak kapal disahkan selamat. Namun, ada seorang penumpang mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan terus dikejarkan ke Hospital Marudi," katanya di sini semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan