Gempar Samarahan dengan bunyi tok koh. Sekali tek adoh.... Sikpa, glamer kejap...
______________________________________________________________________________
PUTRAJAYA – Jawatankuasa Siasatan Ngauman Langit yang ditubuhkan kerajaan (Sky Roar) mempercayai kejadian 'bunyi aneh dan menakutkan' dari langit yang kedengaran di Kota Samarahan, Sarawak pada 11 dan 12 Januari lalu berpunca daripada aktiviti kilang sawit milik FELCRA di Kampung Endap, Kota Samarahan, Sarawak.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, jawatankuasa siasatan yang diwujudkan di bawah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) itu telah melakukan siasatan dan mendapati beberapa andaian penduduk tentang insiden itu sebelum ini tidak mempunyai asas dan kaitan langsung dengan peristiwa itu.
"Antara andaian oleh penduduk setempat ialah mengaitkan bunyi ngauman tersebut dengan kejadian gempa bumi di Sumatra dan High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Namun begitu, siasatan jawatankuasa itu mendapati kedua-dua andaian tersebut tidak mempunyai asas dan kaitan langsung dengan bunyi ngauman tersebut," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Fadillah berkata, jawatankuasa siasatan menggunakan beberapa metodologi dalam siasatan itu seperti menemu bual saksi-saksi kejadian, mengenal pasti sumber potensi punca bunyi, membuat siasatan berkaitan, mendapatkan khidmat pakar tempatan menganalisis audio bunyi berkenaan dan analisis maklum balas yang diterima dari orang ramai.
Menurutnya, penemuan awal siasatan mempercayai bunyi 'Ngauman Langit' itu berkemungkinan besar berpunca daripada aktiviti yang dilakukan oleh kilang sawit milik FELCRA di Kampung Endap pada tarikh 11 dan 12 Januari lalu.
Jelasnya, perkara ini disahkan Penolong Pengurus kilang sawit tersebut, Yusmizan Des bahawa pihak kilang menjalankan penentukuran (setting) dan pengujian tekanan dandang secara auto yang mengakibatkan pelepasan wap akibat lebihan tekanan dandang secara berkala yang mana proses tersebut telah menghasilkan bunyi yang didakwa sebagai 'ngauman langit' oleh penduduk setempat.
Tambahnya, pelepasan tekanan dandang adalah bagi tujuan mengekalkan tekanan dandang pada nilai yang telah ditetapkan semasa aktiviti pemprosesan kelapa sawit.
Malah, kata beliau, corong lepasan wap juga didapati berada pada arah kampung di mana saksi telah mendengar bunyi berkenaan.
Demonstrasi semula penghasilan bunyi pelepasan wap dandang tersebut oleh pihak kilang telah disaksikan sendiri oleh jawatankuasa dan saksi berkaitan dan kesemua mereka berpuas hati dengan persamaan bunyi proses itu dengan rakaman ngauman seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, katanya lagi.
"Bagaimanapun analisis saintifik dan pencirian frekuensi yang sedang dilakukan oleh pakar tempatan diteruskan bagi tujuan pengesahan secara saintifik," katanya lagi. – mynewshub.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan