Selasa, 29 Mei 2012

11 di betong sarawak - Google Blog Search

11 di betong sarawak - Google Blog Search


BARISAN NASIONAL: Program Tranformasi Bahagian <b>Betong</b> Ubah <b>...</b>

Posted: 09 May 2012 01:45 PM PDT


Dua alat perisai itu adalah simbol kepada sejarah perjuangan panglima agung kaum Iban iaitu Rentap.
Dinaik taraf sebagai Bahagian pada 26 Mac 2002, bandar Betong dipilih sebagai pusat pentadbiran Bahagian. Nama Bahagian Betong telah dipilih mengikut nama bandar pusat pentadbiran itu.
Kawasan pentadbiran bahagian baru itu merangkumi daerah Saratok dan daerah Betong yang diperluaskan sehingga ke daerah Kecil Maludam, yang dahulunya berada di bawah pentadbiran daerah Sri Aman.
Betong sebuah penempatan yang penting dari segi sejarah negeri Sarawak kerana terdapat banyaknya peristiwa penentangan pemerintahan Brooke berlaku di sini.
Tempat dan bangunan bersejarah seperti kubu masih dapat dilihat hingga ke hari ini dan ada yang masih digunakan.
Bukit Sadok, yang terkenal dengan peristiwa Pertempuran Bukit Sadok, pernah menyaksikan tiga pertempuran besar di antara Pemerintahan Rajah Brooke dengan Panglima Rentap yang mendapat gelaran Raja Pendalaman pada tahun 1857 hingga tahun 1861.
DARI SEBUAH PEKAN "MATI", BETONG SEMAKIN MAJU
Timbalan Residen Betong Pathi Kerni berkata Bahagian Betong terletak antara tiga batang sungai utama iaitu Batang Lupar, Batang Saribas dan Batang Kelaka meliputi kawasan seluas 4,180 kilometer persegi.
Katanya, dengan jumlah penduduk hampir 94,000 orang Bahagian itu majoritinya dihuni oleh kaum Melayu (51,290), Iban (37,283), Cina (5,084), Bidayuh (225), Melanau (219) manakala selebihnya kaum lain di Sarawak.
"Dari segi ekonomi, aktiviti pertanian, perladangan dan perikanan adalah aktiviti utama di Bahagian Betong, selain berkhidmat dalam sektor kerajaan, swasta serta perniagaan," katanya pada taklimat kepada media sempena program Kembara Media anjuran Jabatan Penerangan Sarawak di sini, baru-baru ini.
Beliau berkata dari segi kemudahan asas hampir 90 peratus kawasan dalam Bahagian ini mempunyai sistem rangkaian jalan raya, bekalan air bersih (77 peratus) dan bekalan elektrik (75 peratus).
Menurutnya, untuk Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) hingga (RMK-10), sebanyak RM2.3 bilion diperuntukkan kerajaan pusat untuk pembangunan Bahagian Betong membabitkan 989 projek manakala kerajaan negeri memperuntukkan RM600 juta untuk 1,104 projek.
Antara pembangunan yang diberikan tumpuan ialah Pusat Pembangunan Luar Bandar (RGC) Layar dan RGC Beladin.
PEMBANGUNAN TANAH NCR UBAH NASIB RAKYAT
Pathi berkata sebagai langkah untuk meningkatkan lagi pendapatan rakyat di kawasan luar bandar beberapa langkah telah diambil pihak kerajaan dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan khasnya dalam pembangunan tanah hak adat bumiputera (NCR).
Antara fokus kerajaan negeri adalah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk memajukan semula sektor penanaman getah secara mini estet di Betong.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 11,000 hektar tanah termasuk dalam kawasan Betong telah ditanam semula dengan getah membabitkan kira-kira 2,600 penanam mini estet getah.
"Hasil getah dikenal pasti boleh membantu rakyat luar bandar di sini untuk meningkatkan pendapatan mereka sekitar RM2,000 sebulan, bergantung kepada pasaran getah semasa," katanya.
Kerajaan dengan kerjasama syarikat dari China iaitu Guangken Rubber (Sarawak) Sdn Bhd turut membina sebuah kilang memproses getah di Bahagian ini untuk memudahkan penanam getah di kawasan sekitarnya.
Dengan kontrak selama 25 tahun dengan syarikat berkenaan, nasib penanam getah di kawasan Betong dan sekitarnya akan lebih terjamin.
Peserta skim mini estet getah di Rumah Graji Atas iaitu Inggo anak Luyoh, 58, berkata dengan adanya usaha untuk membangunkan semula industri getah di kawasan Betong, penduduk kini sudah mula merasai nikmatnya.
Katanya, seluas 120 hektar tanah melibatkan tanah NCR di kawasan Padeh Betong telah dibangunkan dengan tanaman getah.
"Dengan adanya pangalaman yang luas syarikat dari China itu dalam industri getah di beberapa negara rantau Asia Tenggara, kami yakin industri itu boleh berkembang dengan lebih baik di Betong," katanya.
Menurut beliau, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan lagi taraf hidup mereka malah mempunyai pendapatan tetap iaitu sekitar RM2,500 sebulan.
Penolong Pengurus Besar Guangken Rubber (Sarawak) Sdn Bhd, Li Huawei berkata kilang yang beroperasi di Betong itu mampu menghasilkan kira-kira 90 tan getah setiap hari.
Selain memproses getah untuk dieksport, syarikat itu turut membantu dalam menanam pokok getah serta melatih penduduk tempatan cara menoreh serta mengurus hasil getah dengan baik.
"Kerjasama dan sokongan daripada peserta mini estet getah di Betong sangat baik dan kita yakin pada masa akan datang pengeluaran getah di Sarawak mampu untuk ditingkatkan," katanya dalam satu taklimat media di sini.
Beliau berkata, kilang berkenaan juga menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 103 penduduk tempatan selain pekerja dari China.
Selain melabur di Malaysia, syarikat China yang wujud sejak 1951 itu juga melabur di Thailand, Hong Kong dan Vietnam dengan kira-kira 220,000 hektar keluasan tanah bagi tanaman getah.
PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DI BETONG
Sementara itu, Menteri Muda Kebajikan, Robert Lawson Chuat berkata selain memberi tumpuan kepada pembangunan sektor pertanian, Betong juga tidak ketinggalan dalam usaha meningkatkan lagi taraf pendidikan anak di kawasan luar bandar.
Sekitar 30-40 tahun lepas Betong menerima nasib yang sama dengan kawasan luar bandar lain di negeri ini iaitu jauh ketinggalan dari segi pendidikan.
"Bermula tahun 1975 di bawah naungan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang maka bermulalah era perubahan dan tranformasi Betong dari segi pendidikan," katanya.
Menurut Lawson, semasa dia masih di sekolah menengah ketika lawatan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad (ketika itu senator) ke Betong, Mahathir pernah berkata bahawa strategi penting dalam pembangunan adalah meningkatkan tahap pendidikan rakyat.
Lawson berkata menyedari hakikat itu lebih banyak sekolah dibina terutama di kawasan pedalaman dan hulu sungai di Betong.
Hari ini, katanya, Betong boleh berbangga kerana mempunyai pelbagai institusi pendidikan seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Vokasional Betong, Kolej Komuniti dan yang terbaru ialah Politeknik Metro (dijangka akan siap tahun depan).
Beliau berkata, di sebalik sejarah Betong yang hebat seperti era kebangkitan pahlawan Iban iaitu Rentap, hari ini jelas terbukti kemajuan dan nikmat pembangunan yang dikecapi rakyat adalah hasil kesepakatan yang baik antara pemimpin dan rakyat di bahagian itu sejak sekian lamanya.
Katanya, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) diakui permuafakatan semua pihak menjadi ramuan utama kepada kejayaan tranformasi Betong hari ini.
"Antara kerajaan pusat dan negeri, kita mempunyai semangat kerjasama yang tinggi dan ini dapat kita buktikan di Betong hari ini mempunyai seorang menteri dan dua timbalan menteri di peringkat persekutuan," katanya, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Saban, juga dalam Bahagian Betong.
Sokongan padu rakyat dalam semua projek dan perancangan oleh kerajaan juga memudahkan lagi pelaksanaannya, kata Lawson.
Rakyat di Bahagian ini, katanya, tahu dan sudah matang dalam berfikir kerana apa yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah untuk kebaikan dan masa depan anak dan cucu mereka.
Sebagaimana kuatnya perjuangan pahlawan Iban iaitu Rentap suatu ketika dahulu, begitulah kuatnya semangat pemimpin dan rakyat di Bahagian Betong untuk melihat tranformasi dari segi ekonomi, sosial dan politik sejajar dengan matlamat ke arah sebuah negara maju dan rakyat berpendapatan tinggi, kata Lawson.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads