Sabtu, 10 September 2011

11 di lubok antu sarawak - Google Blog Search

11 di lubok antu sarawak - Google Blog Search


UMNO Online - Impian PKR Perluas Pengaruh <b>Di Sarawak</b> Berkubur

Posted: 07 Apr 2009 07:19 AM PDT

Kategori Berita Pilihan

Impian PKR Perluas Pengaruh Di Sarawak Berkubur

LUBOK ANTU, 7 April (Bernama) — Impian Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memperluaskan pengaruhnya di Sarawak berkubur apabila Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai yang majoriti pengundinya kaum Iban dengan kemenangan besar dalam pertandingan satu lawan satu.

Muka baru, Malcolm Mussen Lamoh, 49, bekas jurutera di Jabatan Pertanian Sarawak memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti 1,854 undi apabila beliau memperoleh 3,907 undi mengalahkan ahli politik veteran Jawah Gerang, 55, yang mendapat 2,053 undi.

Malahan sebelum pegawai pilihan raya Nelson Mujah Girie mengumumkan keputusan itu di pusat penjumlahan undi di Kompleks Sukan Lubok Antu di sini pada 7.45 malam, suasana gembira sudah terasa di kem BN yang diketuai pengarah operasinya Datuk Seri Dr James Jemut Masing.

Di sebalik cubaan PKR untuk memancing sokongan pengundi Iban dengan memainkan isu-isu sensitif termasuk hak tanah adat dan hak kaum Dayak, pengundi sekali lagi memilih untuk menyerahkan nasib mereka di tangan BN daripada segi meningkatkan standard kehidupan sosial-ekonomi mereka.

Pada pilihan raya negeri pada Mei 2006, penyandang Datuk Dublin Unting Ingkot dari BN memenangi kerusi itu dengan menewaskan Nicholas Bawin Anggat dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dengan majoriti 806 undi.

Ironinya, harapan Jawah untuk bergantung kepada kehadirannya selama lima penggal sebagai bekas anggota Parlimen BN kawasan Lubok Antu, tidak kesampaian apabila tewas kepada muka baru dalam pentas politik dengan pengundi Melayu dan Cina menunjukkan sokongan kepada Mussen.

Batang Ai, yang merupakan satu daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri di kawasan Parlimen Lubok Antu mempunyai 8,006 pemilih berdaftar termasuk 43 undi pos.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya Mussen berkata walaupun beliau menjangkakan untuk menang tetapi terkejut dengan majoriti besar itu.

Katanya keutamaan beliau bagi dua tahun akan datang ialah "untuk meneruskan dengan apa yang telah dirancang bagi Batang Ai".

"Mungkin kami perlu menunggu Rancangan Malaysia akan datang untuk membuat perancangan apa yang saya benar-benar mahu lakukan. Saya akan sedaya upaya melaksanakan apa yang telah dirancang seperti meningkatkan kemudahan infrastruktur, meningkatkan perkhidmatan kesihatan dan, sudah tentu, kemudahan untuk semua sekolah luar bandar di sini," katanya.

Mengenai kemenangannya, Mussen berkata beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada BN secara keseluruhannya dan penduduk Batang Ai yang tidak membenarkan diri mereka diperdayakan oleh PKR.

Beliau juga menyifatkan kemenangannya sebagai hadiah harijadi paling istimewa berikutan ulang tahun ke-50 beliau ialah esok (8 April).

Sementara itu, Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyifatkan majoriti lebih besar yang diperoleh BN sebagai petanda pengundi di kawasan itu menolak cara berpolitik PKR.

Katanya keputusan itu menunjukkan "penduduk Sarawak mahu orang Sarawak untuk mengawal hal ehwal Sarawak" dan sebagai peringatan kepada parti-parti pembangkang di Semenanjung seperti PKR adalah tidak dialu-alukan di negeri itu.

"Inilah mesej kepada PKR daripada penduduk di sini bahawa kami tahu apa yang perlu dilakukan di sini dan tolong jangan datang," kata Masing, yang juga Menteri Pembangunan Tanah Sarawak.

– BERNAMA

Berita Bertarikh 7 April 2009 Pada 10:19 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads