SARATOK: Golongan belia di Parlimen Saratok diseru menghadiri Seminar Pendidikan Teknikal yang akan dianjurkan 18 Januari ini.
Ketua Pemuda (Parti Demokratik Progresif Sarawak) SPDP Krian James Jimbun berkata, program itu bertujuan membantu golongan belia dan lepasan sekolah yang belum mendapat pekerjaan serta kurang cemerlang dalam akademik mendapat informasi yang boleh mereka lakukan melalui pendidikan teknikal yang diwujudkan di institusi pendidikan.
"Melalui program ini kami akan berusaha memberi maklumat dan kesedaran kepada golongan sasaran tentang peluang-peluang yang sedia wujud dan terbuka pada masa akan datang melalui aktiviti perindustrian yang sedang giat dijalankan dan dibangunkan di seluruh negara pada masa ini.
"Pada masa yang sama, aktiviti ini turut memberi penjelasan kepada golongan ini tentang cara berkesan merebut setiap peluang terbabit, terutama dalam aspek kelayakan yang harus ada pada setiap pemohon.
"Kami tidak mahu golongan yang kurang berjaya dalam bidang akademik amnya serta yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi terus pasrah dengan situasi yang mereka hadapi.
"Golongan ini harus sedar bahawa semua masalah itu dapat diatasi dengan mengambil peluang melalui mendapatkan pendidikan teknikal kerana dasar pendidikan adalah lebih memberi keutamaan kepada minat dan kebolehan seseorang dalam bidang teknikal," katanya ketika ditemui media, semalam.
Seminar berkenaan akan bermula jam 9 pagi hingga jam 1 petang pada hari berkenaan di Perpustakaan Awam Majlis Daerah Saratok (MDS).
Progam itu adalah anjuran Pemuda SPDP Saratok dengan kerjasama Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) dan MDS.
Katanya, program juga diharap memberi maklumat tentang institusi-institusi yang menawarkan peluang pendidikan teknikal.
"Bagi menjayakan matlamat ini, pihak penganjur melalui penceramah jemputan akan memberi penerangan kepada para peserta seminar tentang kursus-kursus yang boleh mereka ikuti berdasarkan kebolehan, minat dan peluang yang bakal terbuka kepada mereka dengan ilmu kemahiran yang mereka miliki," kata James.
Penyertaan bagi mengikuti sesi seminar berkenaan adalah terhad kepada 50 peserta yang mendaftar awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan