ads

Ahad, 5 Ogos 2012

11 di sarikei sarawak - Google Blog Search

0 ulasan
URL Sumber Asal :-

11 di sarikei sarawak - Google Blog Search


CT120. HIDANGAN RAMADHANKU « LAMAN MENULIS GAYA <b>...</b>

Posted: 03 Aug 2012 08:20 PM PDT

Assalaamu'alaikum warahmatullahi wabarakaatuh

Posting kali ini adalah untuk merehatkan sedikit minda dan fikir buat sementara waktu sebelum melanjutkan lagi Travelog Hajjah di Bumi Haramain.

Hari ini  15 Ramadhan kita berpuasa. Sungguh cepat masa berlalu dan tinggal separuh bulan lagi untuk bersedia mengiringi kepergian Ramadhan yang ditunggu setahun yang lalu. Menjelma pula Syawal, hari kemenangan. Hati ini bagai mengharap biarlah seluruh bulan dalam tahun ini adalah bulan Ramadhan. Tentu sekali mustahil berlaku kerana ketentuannya sudah demikian sejak azali lagi. Setiap bulan Islam mempunyai keistimewaan masing-masing dan tidak ada yang memudharatkan.

Direbut bulan Ramadhan kerana hebatnya ganjaran yang Allah kurniakan kepada hamba-NYA yang beriman, mematuhi perintah dan larangan-NYA. Ditangisi kepergiannya kerana bimbang tidak akan bertemu lagi untuk menjadi tetamu Ramadhan di tahun mendatang. Dirindui kehadirannya kerana tidak ada lagi gandaan amal ibadah yang dikhususkan kepadanya yang tidak ditemui dalam bulan-bulan yang lain. Subhanallah.

Hargailah Ramadhan tahun ini kerana mungkin inilah Ramadhan Terakhir kita.

GORENG PISANG RANGUP menjadi menu wajib setiap hari berbuka. Sebabnya ? Ini buah pisang kapok dari tanaman sendiri. Anak-anak  tidak jemu makan goreng pisang yang saya hiris nipis dan digoreng rangup. Kadang kala kami hanya bersahur dengan goreng pisang sahaja. :D

Tidak seperti tahun-tahun yang lalu, biasanya saya akan membeli lauk pauk, kuih muih dan minuman di Bazaar Ramadhan di bandar Sarikei hampir setiap hari kerana letih untuk memasak sebaik pulang dari kerja. Pelbagai juadah dijual untuk memudahkan orang ramai berbuka puasa di rumah masing-masing. Hati bagai dipanggil untuk menikmati hidangan yang membuka selera tetapi belum tentu berkhasiat dan tidak diketahui apakah nutrimennya membantu meningkatkan kesihatan yang berkesan. Yang kita tahu, hanya membeli sahaja.

Tahun 2012, hanya baru sekali saya mengunjungi Bazaar Ramadhan. Itupun kerana saya ingin makan ayam panggang dan minum air tebu. :D Saya mengambil langkah berjimat cermat dan berhemat dalam perbelanjaan. Bukan kerana bakhil, kedekut atau lokek. Tetapi saya  membuat keputusan, dipersetujui oleh SPH dan anak-anak untuk menyedia dan memasak sendiri segala juadah berbuka. Lagipun saya masih mempunyai masa lapang untuk mengatur menu simple bagi juadah berbuka.

Anak-anak sudah biasa dengan makan sederhana. Mereka diajar untuk tidak membazir. Setiap makanan yang dihidang mesti habis dimakan supaya "tidak berkawan dengan syaitan." Mereka tidak berkeluh kesah apabila hidangan saya hanya satu atau dua menu sahaja. Namun saya akan pastikan menu masakan saya adalah yang TERBAIK hari itu. Anak-anak juga tidak menggalakkan saya membeli di Bazaar Ramadhan kerana mereka kata membazir. Baik masak sendiri lagi banyak berkatnya. Alhamdulillah.

Berikut adalah beberapa menu hidangan berbuka puasa yang telah saya masak untuk keluarga bagi menyambut riang kehadiran waktu berbuka yang selalu ditunggu-tunggu dengan tidak sabarnya oleh anak-anak. Waktu berbuka puasa bagi Sarikei dan kawasan yang sewaktu dengannya adalah jam 6.48 petang.

SPECIAL (1) SAMBAL TEMPOYAK GORENG

Tempoyak adalah terhasil dari isi durian yang sudah dipisahkan dari bijinya. Kemudian digaul sebati dengan garam secukup rasa mengikut kehendak sendiri. Biarkan masin sedikit agar lebih tahan lama. Dimasukkan ke dalam balang dan ditaburi sedikit gula pasir di atasnya untuk mengekalkan aroma. Kemudian tutup ketat. dan simpan di dalam peti sejuk.

Selain dimakan mentah bersama nasi, tempoyak boleh juga dimasak secara goreng atau berkuah (asam pedas). Namun begitu, saya lebih suka menggorengkannya bersama udang dan daun kunyit.  Aroma baunya yang harum manis menyebabkan tidak sabar untuk menikmatinya ketika panas-panas.

Sayur taugeh adalah antara sayur kegemaran saya. Biasanya digoreng kering dan dicampur udang serta pelbagai sayuran lain seperti kacang pendek, lobak dan anak jagung muda.

Cucur udang bersalut tepung gandum sahaja dengan "corn kernel" bersama daum saderi dan cili merah adalah hidangan kegemaran seisi keluarga. Semakin enak dan lazat dimakan apabila dicecah dengan sos chili Thai yang diperah dengan sedikit limau kasturi untuk meyeimbangkan rasa masam dan manis sos.

Ayam Masak Tomato atau di Sarawak dikenali sebagai Ayam Masak Merah adalah kegemaran anak-anak. Cuma saya modifed sedikit rasanya dengan mencampurkan daun limau purut agar lebih wangi dan menimbulkan selera. kadang kala saya campurkan daun kunyit untuk menambah aromanya.

SPECIAL (2) BUBUR PEDAS

BUBUR PEDAS sangat terkenal di Sarawak. Zaman saya kecil-kecil dulu, Bubur Pedas hanya dapat dirasai pada bulan Ramadhan sahaja. Bulan-bulan lain sangat sukar untuk ditemui bumbu Bubur Pedas ini. Tetapi sekarang, makanan tradisional Sarawak ini sudah dijual di luar musim bulan Ramadhan. Kita boleh makan Bubur Pedas bila-bila masa sahaja tanpa menunggu hadirnya bulan Ramadhan.

Tidak semua orang mahir membuat BUMBU Bubur Pedas. Hanya yang telah mewarisi resipi dari emak, nenek dan keturunan mereka sahaja yang dapat menghasilkan BUMBU Bubur Pedas yang lazat. Harga Bumbunya sudah meningkat RM25.00 untuk sekilo disebabkan harga bahan-bahan bumbu semakin meningkat terutama kelapa parut.

Bubur Pedas adalah makanan kesukaan nombor satu saya. Jika memasak Bubur Pedas, tidak ada makanan lain bersamanya kerana Bubur Pedas sudah cukup mengenyangkan. Rujuk foto Bubur Pedas di atas, yang siap saya masak dengan pelbagai campuran sayuran yang berwarna warni, daun kunyit dan ayam. Selalunya saya juga akan menambah, tauhu kering (fucuk) dan udang bagi keseragaman cita rasa. Sangat enak dimakan panas-panas.

SPECIAL (3) UDANG MENTEGA CHEESE

Resipi Butter Prawn yang sangat sedap ini telah diubahsuai oleh adik saya, Ros. Namun diubahsuai lagi oleh saya yang suka menambah kelainan dalam sesuatu masakan. :D Keenakan menu ini adalah daun kari yang digoreng garing sehingga menyemarak bauan yang menggigit tangkai hati.

Selain itu bawang besar digoreng rangup bersama udang putih besar (RM18, sekilo) bersalut tepung jagung, tepung gandum dan telur. Rasanya manis masin kerana diadun bersama roti cheese dan tepung susu. Hmmm… masakan yang menawan hati. sangat menggugah selera. Alhamdulillah. Terima kasih adikku sayang untuk resepi idaman ini. :D

Dadih adalah kegemaran anak-anak. Paling mereka sukai adalah dadih berperisa coklat, mangga, cappucino dan jagung. Anak-anak suka membantu saya menyiapkan hidangan pemanis mulut ini. Maka, kerja saya semakin ringan dan dapat istirehat panjang. :D

Foto diambil ketika sedang menikmati juadah makan tengah hari di Restoran EH Delight.

MILO CINCAU mula saya minum ketika makan di Restoran EH Delight, Sarikei. Menyiapkan resipi ini sangat mudah. Milo dimasukkan ke dalam gelas mengikut jumlah yang disukai. Tambahkan sedikit gula pasir dan beberapa sudu susu krimer manis mengikut rasa kepekatan sendiri. Campurkan cincau manis yang sudah dicincang halus. Kemudian masukkan air putih bersama ketulan ais. Siap untuk diminum. Sangat sedap diminum sejuk. Anak-anak selalu memuji minuman MILO CINCAU buatan saya. Lebih sedap dari Restoran EH Delight. :D  

Selain Milo Cincau, saya juga menyiapkan minuman Lobak Susu yang di 'blend' buahnya untuk mendapat pati air lobak. Kemudian dicampurkan dengan susu krimer manis dan gula pasir sebelum dicampurkan dengan air putih dan ais. Minumlah dengan senyuman yang menawan. Isi buangan lobak pula, tidak disia-siakan kerana saya akan 'modified' menjadi Cucur Lobak Manis. Tidak membazir kan ? – Fotonya akan kemudian disiarkan kerana cadangnya esok hendak buat air lobak. :D

SPECIAL (4) LAKSA SARAWAK

Laksa kegemaran yang menjadi pilihan saya dan keluarga. Semalam saya hidangkan untuk berbuka dan bersahur. Hanya Laksa Sarawak. :D Jika makan di mana-mana kedai makan, pilihan pertama saya akan jatuh pada menu Laksa Sarawak kerana setiap kali makan, rasanya berbeza. Dalam banyak-banyak rasa Laksa Sarawak, pilihan utama saya adalah Bumbu Liza's Laksa Sarawak. Sangat sedap, pedas dan memenuhi cita rasa saya. :D

Roti Sanwich Tuna Pedas adalah makanan saya kerana saya kurang makan nasi. Anak-anak akan menyantap sama walaupun pedas. Semakin enak apabila ditambah dengan Cheese dan dibakar sehingga Cheesenya mencair.

Ringgggg…ringgggg, alarm dari Blackberry Torch sudah disetkan pada jam 4.00 pagi. Dengan setianya, jam itu membangunkan saya untuk memberi ingatan waktu sahur sudah tiba. Jam 4.30 pagi kami sekeluarga mula menghadap hidangan sahur yang disiapkan dengan rasa syukur yang tinggi kepada Allah swt.

Hidangan yang sangat ringkas iaitu minuman panas segera mengikut cita rasa masing-masing dan roti sanwich berintikan ikan tuna pedas dengan cheese yang kemudiannya dibakar. Kemudian akhir sekali meneguk air putih untuk mengakhiri makan sahur. Jarang sekali kami sekeluarga makan  dari lebihan waktu berbuka.

Kebiasaan makan sahur yang ringkas adalah hasil dari kebiasaan makan sahur untuk puasa sunat Isnin dan Khamis yang menjadi amalan kami sekeluarga sebelum tiba bulan Ramadhan. Anak-anak tidak pernah merungut dengan makan sahur yang disediakan. Alhamdulillah. Waktu Imsak bagi Sarikei adalah jam 5.05 pagi. manakala waktu Subuh pula, jam 5.15 pagi.

Apakah menu berbuka puasa dan makan sahur sahabat sekalian? Lain tempat, lain makanan dan lain seleranya.  :D

 4 Ogos 2012 (Sabtu)/ 15  Syawal 1433H/ 10.44 pagi - Sarikei, Sarawak

AKU…. dan apapun yang pernah aku berikan padamu sewaktu – waktu dulu, simpanlah di dasar hatimu yang terdalam. Dan sewaktu-waktu itu, ada kenangan yang boleh diingati saat kaki ini akan melangkah pergi untuk salam terakhir. Aku…. malu dengan seada-adanya, menatap keunggulan cintamu yang selalu sedia menerimaku dengan seada-adanya. Di sisimu, ada sekeping hati yang lembut di sebalik ketegasanmu. Yang paling aku rindu adalah SENYUM dan PENDIRIANMU.

- SITI FATIMAH AHMAD -

Tags: , , , , , , , ,

 

BLOG SARAWAK

Copyright 2010 All Rights Reserved