- Jan 02, 2014
-
HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: PAS Negeri Sarawak menzahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa mangsa-mangsa banjir di negeri itu dan mengucapkan takziah ke atas kehilangan ahli keluarga dan kerosakan harta benda.
Justeru itu, Ketua Penerangan PAS Sarawak, Andri Zulkarnaen Hamden mendesak agar kerajaan negeri dapat bertindak segera di dalam aspek penyelamatan dan penyediaan penempatan banjir yang selesa.
Katanya, PAS negeri juga meminta kerajaan menyedia dan menyalurkan bantuan keperluan asas yang mencukupi sepertu makanan, lampin pakai buang, susu,selimut, pakaian dan juga air bersih di sepanjang mangsa banjir berada di pusat pemindahan atau mangsa yang masih berada di rumah mereka tanpa mengira fahaman politik dan birokrasi yang ketat.
Berikut kenyataan penuh.
Keadaan hujan yang berterusan telah menyebabkan empat (4) bahagian di Sarawak dilanda banjir yang teruk.
Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Negeri dalam laporan laman sesawangnya menyatakan beberapa kawasan di Miri, Bintulu, Betong dan Sri Aman dinaiki air di antara 0.5 meter hingga satu meter.
Kebanyakan kawasan yang dinaiki air adalah kawasan yang rendah dan kawasan yang sedang dalam proses pembangunan.
Akhbar Borneo Post melaporkan kejadian perahu karam akibat paras air meningkat menyebabkan dua (2) orang hilang manakala tiga (3) orang lagi dapat diselamatkan di Sungai Sebiew Daerah Bintulu.
Sementara di Kota Samarahan, seorang ibu dan anak lelakinya yang berusia 11 tahun mati lemas akibat kereta yang mereka naiki terbabas dan terjunam ke dalam parit.
Kenyataan media oleh Timbalan ketua Menteri yang juga Pengerusi Bencana Negeri Tan sri Alfred Jabu Anak Numpang berkata beberapa laluan jalan perhubungan darat di antara daerah kecil di Bakong dan Bandaraya Miri turut terjejas.
Sebahagian kawasan di negeri Sarawak juga terputus hubungan jalan raya ekoran daripada banjir yang melanda dan kejadian tanah runtuh yang disebabkan hujan yang turun tanpa henti dan lebat sejak beberapa hari.
PAS Negeri Sarawak menzahirkan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa mangsa-mangsa banjir dan ingin mengucapkan takziah ke atas kehilangan ahli keluarga dan kerosakkan harta benda atas musibah yang melanda mereka.
Justeru itu, PAS Sarawak mendesak agar kerajaan negeri dapat mengambil perhatian dan tindakan seperti berikut:-
1. Bertindak segera di dalam aspek penyelamatan dan penyediaan penempatan banjir yang selesa.
2. Menyedia dan menyalurkan bantuan keperluan asas yang mencukupi sepertu makanan, lampin pakai buang, susu,selimut, pakaian dan juga air bersih di sepanjang mangsa banjir berada di pusat pemindahan atau mangsa yang masih berada di rumah mereka tanpa mengira fahaman politik dan birokrasi yang ketat.
3. Mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan dan bekalan air bersih bagi mengelakkan berlakukannya wabak yang tidak diingini.
4. Khemah untuk satu keluarga agar dapat melindungi aurat wanita/gadis hatta lelaki dari tidur berselerakkan di pusat pemindahan dan boleh menimbulkan prasangka buruk. Ia bertepatan dengan rakyat Malaysia bumiputra yang masih mempunyai adat budaya serta kesopanan yang tinggi.
5. Membantu memudahkan penjawat awam atau swasta yang mempunyai akaun pinjaman perumahan maupun pinjaman yang lain bagi memudahkan mereka membuat tuntutan insurans/takaful terhadap harta benda mereka yang musnah.
6. Cuti khusus tanpa rekod kepada kakitangan kerajaan dan mengarahkan mereka dalam misi membantu kerja kerja menyelamat serta menghulur tenaga mereka bagi membantu mangsa banjir; dan
7. Memberi sumbangan kilat ke atas keluarga mangsa banjir yang mati akibat bencana ini.
Sehubungan dengan itu PAS Sarawak juga di dalam masa yang sama akan berusaha sedaya upaya untuk memberikan bantuan menerusi berbagai jentera parti di dalam meringankan beban mangsa walaupun kami tidak mampu menyaingi dana/gerak kerja kerajaan negeri yang mempunyai akses kewangan dan agensi yang lebih besar dan luas.
Akhir sekali, PAS Sarawak berharap kerajaan negeri dapat menunaikan kewajipan mereka sebagaimana yang diharapkan oleh rakyat yang memilih mereka.
Ini ditambah lagi dengan sumber kewangan dan dana rizab Negeri Sarawak yang sememangnya diketahui umum di antara yang tertinggi di Sarawak.
PAS Sarawak juga menyeru pihak Kerajaan Persekutuan yang mempunyai dana khas juga dapat lebih proakatif dan segera bertindak bagi membantu rakyat Sarawak yang sedang dilanda musibah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan