Posted on May 26, 2013, Sunday
KOTA SAMARAHAN: Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) kini mempunyai ahli berdaftar seramai 6,020 orang di seluruh Samarahan sekali gus mampu dijadikan sandaran dalam aspek keselamatan di peringkat akar umbi menerusi pendekatan yang lebih berkesan.
Wakil Pengarah RELA Negeri PPRD Nor Azizah Bakawi berkata, peningkatan jumlah keahlian RELA di Samarahan amat memberangsangkan kerana kini lebih ramai masyarakat gemar melibatkan diri dalam badan-badan sukarela beruniform.
Malah, Sarawak kini mempunyai anggota RELA seramai 225,017 orang yang dijangka akan terus meningkat.
"Bilangan anggota RELA di Samarahan meningkat saban hari dan sehingga hari ini (semalam), jumlah anggota berdaftar adalah melebihi 6,020 orang.
"Oleh itu, saya menyeru agar anggota RELA Samarahan terus berusaha dengan lebih gigih lagi bagi meningkatkan nama dan menaikkan imej pasukan RELA di negara ini amnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Mesra dan Penyampaian Khidmat Bakti RELA di Dewan Kampung Muara Tuang di sini, baru-baru ini.
Majlis yang dihadiri lebih 200 anggota RELA Samarahan turut menyaksikan beberapa anggota RELA menerima bantuan kebajikan.
"Ini adalah bagi menghargai jasa anggota RELA yang telah lama berkhidmat dalam pasukan dan diharap dapat meringankan beban anggota RELA khususnya mereka yang kurang berkemampuan dan anggota kurang upaya," tambahnya.
Antara bantuan yang telah diagihkan pada majlis tersebut termasuk alat bantuan seperti kerusi roda, tongkat, barangan keperluan harian dan juga bantuan lampin pakai buang kepada anggota RELA yang telah dikenal pasti.
- Next Entry >>
To enable your comment to be published, please refrain from vulgar language, insidious, seditious or slanderous remarks. This includes vulgar user names.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan