ads

Isnin, 18 Februari 2013

11 di sibu sarawak - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

11 di sibu sarawak - Google Blog Search


SOFBOL | Sejarah Sofbol <b>di Sibu</b>, <b>Sarawak</b> ~ CiKGUHAiLMi

Posted: 13 Feb 2013 08:58 AM PST

Sejarah Perkembangan Sukan Sofbol di Sibu, Sarawak

Entri ini adalah bertujuan sebagai catatan kenangan dan tatapan peribadi pemilik blog, serta rakan-rakan seperjuangan.

Sejarah perkembangan sukan sofbol di Sibu, boleh dikatakan bermula daripada tahun 2007, apabila sekumpulan guru yang terdiri daripada 3 buah sekolah telah mula mengatur langkah mengembangkan sukan tersebut di Sibu. Guru-guru tersebut adalah terdiri daripada Cikgu Peter Coelho (SMK Chung Hua Sibu), Cikgu Norhailmi Abdul Mutalib (SMK Luar Bandar No.1 Sibu), Cikgu Achmaed Ckhalifh (SMK Bukit Lima) dan Cikgu Kho Say Wei (SMK Bukit Lima) yang bertindak selaku Pengerusi Teknikal Sofbol Sibu. Tujuan utama bagi kumpulan ini adalah mengadakan Kejohanan Sofbol MSS yang pertama di Sibu dan juga menghantar pasukan Sibu ke Kejohanan Sofbol MSS Sarawak.

Sudah tentu untuk memulakan sesuatu memerlukan kesungguhan dan juga usaha yang jitu daripada orang yang bertanggungjawab. Atas semangat kerjasama, maka Pengerusi Teknik Sofbol Sarawak, Cik Sita Lahap telah dijemput bagi memberikan tunjuk ajar serta nasihat kepada kelompok pertama penggerak sofbol di Sibu. Satu sesi ceramah ringkas undang-undang telah diadakan dan Cik Sita Lahap juga dijemput untuk menjadi umpire pada hari pertama pertandingan.

Bagi kejohanan pertama ini, hanya 3 buah sekolah sahaja yang mengambil bahagian, iaitu SMK Chung Hua, SMK Bukit Lima dan SMK Luar Bandar No.1 Sibu. Kejohanan diadakan di SMK Lanang. Pada pertandingan tersebut, Johan bagi Kategori L18 adalah pasukan SMK Chung Hua, manakala Johan bagi Kategori P18 pula adalah daripada pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu.


Terlalu banyak kekurangan pada semua pasukan semasa kejohanan pertama tersebut. Namun atas semangat kerjasama dan juga atas dasar berkongsi minat yang sama, maka kumpulan penggerak pertama ini telah sebulat suara dalam pemilihan pemain yang berpotensi untuk mewakili Sibu ke Kejohanan Sofbol MSS Sarawak di Kuching.

Maka pada April 2007, buat pertama kalinya, pasukan Sibu menyertai Kejohanan Sofbol MSS Sarawak bertempat di SM St Thomas, Kuching. Sibu telah menghantar pasukan L18 dan juga pasukan P18.


Pasukan L18 telah tersingkir pada pusingan awal. Namun pasukan P18 berjaya mendapat tempat Ketiga dengan mengalahkan pasukan Bintulu. Sudah tentu kejayaan ini, merupakan suatu kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan oleh semua yang terlibat. Pasukan Kuching muncul Johan bagi kedua-dua kategori.

Ini menjadi suatu rangsangan motivasi kepada pemain-pemain dan guru-guru penggerak untuk berusaha dengan lebih gigih. Dengan jumlah sekolah yang masih sama, Kejohanan Sofbol MSS Sibu pada tahun 2008, telah menunjukkan penguasaan pasukan dari SMK Luar Bandar No.1 Sibu. Pasukan sekolah tersebut telah memenangi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.


Bagi Kejohanan Sofbol MSS Sarawak yang dipertandingkan di SMK Bintulu, Bintulu, pasukan Sibu juga tampil lebih cemerlang dengan kedua-dua pasukan L18 dan P18 telah berjaya mendapat tempat Ketiga. Kali ini, pasukan Betong telah menjadi Johan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Pada tahun 2009, Cikgu Achmaed Ckhalifh juga telah menggantikan Cikgu Kho Say Wei sebagai Pengerusi Teknik Sofbol Sibu atas kemahuan Cikgu Kho Say Wei untuk lebih fokus kepada sukan bola baling. Keluarga sofbol Sibu juga telah menerima 2 lagi rakan guru yang turut membantu perkembangan sofbol di peringkat Sibu dan negeri, iaitu Cikgu Joshua Tingom (SMT Sibu) dan Cikgu Mohd Adam Abdullah (SMK Bukit Assek). Dengan itu, penyertaan bagi peringkat Sibu telah bertambah daripada hanya 3 pasukan kepada 4 pasukan dengan pasukan SMT Sibu muncul sebagai pencabar terbaru.


Tahun yang sama, pasukan L18 SMK Luar Bandar No.1 Sibu berjaya mengekalkan Johan bagi kategori lelaki, manakala bagi kategori perempuan pula, pasukan P18 SMK Bukit Lima muncul Johan buat pertama kalinya.
Bagi peringkat negeri, Kejohanan Sofbol MSS Sarawak 2009 telah diadakan di Betong. Pasukan P18 Sibu hanya mampu untuk mengekalkan tempat Ketiga. Manakala pasukan  L18 pula terpaksa akur pada tempat Keempat, apabila dikalahkan oleh pasukan Samarahan pada pusingan penentuan. Pasukan Kuching pula kali ini kembali merebut gelaran Juara bagi kedua-dua kategori.
Untuk tahun 2010, kedua-dua pasukan Johan pada tahun sebelumnya telah mengekalkan rekod kemenangan masing-masing, dengan pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu masih muncul sebagai Johan Kategori L18 dan pasukan SMK Bukit Lima pula sebagai Johan Kategori P18. Jumlah sekolah yang menyertai masih 4 buah sekolah.
Pada tahun ini juga, Sibu tidak menghantar pasukan ke Kejohanan Sofbol MSS Sarawak atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan.
 
Tahun 2011 menyaksikan kemasukan sekolah yang ke-5 menyertai Kejohanan Sofbol MSS Sibu, iaitu pasukan SMK Bukit Assek. Buat sekali lagi juga, pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu berjaya menyapu bersih gelaran Juara bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.
Bagi peringkat negeri pula, Kejohanan Sofbol MSS Sarawak sekali lagi telah diadakan di SM St Thomas, Kuching. Kali ini, Sibu menghantar 2 pasukan Kategori P18, iaitu Sibu A (campuran sekolah-sekolah Sibu) dan Sibu B (SMV Sibu). Pasukan Sibu A tumpas pada pusingan kelayakan, manakala Pasukan Sibu B tampil cemerlang dengan mendapat Naib Johan. Johan bagi kedua-dua kategori adalah pasukan yang baru mula menyertai MSS Sarawak, iaitu pasukan Miri.
Kejohanan Sofbol MSS Sibu pada tahun 2012 juga dimeriahkan lagi dengan penyertaan sebuah lagi sekolah, iaitu pasukan SMK Sibu Jaya di bawah pimpinan Cikgu Jerry Morris Unong. Tempat kejohanan juga telah beralih daripada padang SMK Lanang ke SMK Bukit Assek. Bagi kejohanan ini, pasukan SMK Luar Bandar No.1 Sibu telah muncul Johan kategori L18, manakala SMV Sibu pula muncul Johan buat pertama kalinya bagi kategori P18.
Kejohanan peringkat negeri pula diadakan di Mukah buat pertama kalinya. Pasukan Sibu L18 telah berjaya mendapat tempat Ketiga mengalahkan pasukan Samarahan, manakala pasukan Sibu P18 pula dikecewakan oleh pasukan Kuching pada perlawanan penentuan dengan kedudukan akhir pada tempat Keempat. Johan bagi kategori L18 adalah pasukan Kuching, manakala Johan bagi Kategori P18 adalah pasukan Miri.

Semoga sukan sofbol akan terus bersinar di Sibu!

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SARAWAK

Copyright 2010 All Rights Reserved