
HASHIM Ibrahim menunjukkan tempat  kejadian helikopter Nuri terhempas yang kini dikenali sebagai Pulau  Nuri. (Gambar kecil) akhbar Utusan Malaysia keluaran 19 Disember 1989  menceritakan kejadian nahas helikopter Nuri di Sungai Lundu, Sarawak.
HARI Isnin, 18 Disember 1989. Cuaca sebagaimana kebiasaan pada musim  tengkujuh di Kuching, Sarawak masih tidak menentu dan beberapa kawasan  rendah sudah ditenggelami air berikutan hujan lebat beberapa hari  sebelumnya.
 Di Pangkalan Tentera Udara Malaysia (TUDM) Kuching pula, sebuah  helikopter Nuri seawal pukul 8 pagi sudah bersedia menerbangkan 16  penumpang termasuk empat pegawai tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  masing-masing dua orang berpangkat Jeneral dan tiga Kolonel. 
 Mereka terdiri daripada Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk  Mustaffa Awang; Panglima 3 Briged Infantri, Brigadier Jeneral Datuk  Hasbullah Yusuf yang lebih dikenali sebagai Bond Hasbullah; Pegawai  Memerintah Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (RRD), Leftenan Kolonel  Mohd. Johari Selan; Pegawai Memerintah Batalion Ke-13 Rejimen Askar  Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Kolonel Tunku Abdul Aziz Tunku Osman dan  Pegawai Staf Satu (Operasi) 1 Divisyen, Leftenan Kolonel Mustafa Kamal  Mohd. Yusoff.
 Destinasi yang dituju mereka ialah Kem Sematan untuk menghadiri  majlis penutup Kursus Risik Tempur. Namun, berikutan halangan cuaca  buruk, penerbangan helikopter pelbagai guna itu terpaksa ditangguhkan  sehingga pukul 8.50 pagi.
 Penangguhan hampir sejam itu rupa-rupanya memberi petunjuk bahawa  penerbangan berkenaan adalah yang terakhir buat kesemua penumpang. 
 Berdasarkan rekod kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan, helikopter  itu terputus hubungan dengan menara kawalan hanya selepas 15 minit  berlepas sehingga TUDM terpaksa melancarkan gerakan mencari dan  menyelamat (SAR).
 Dua buah pesawat Alouette telah dikerah untuk mengesan Nuri yang  membawa individu penting dalam hierarki kepimpinan ATM itu sehinggalah  pencariannya menemui noktah. Ia ditemui terhempas di muara Sungai Lundu,  berhampiran Kampung Kuala Bandang, kira-kira 60 kilometer (km) ke barat  laut Kuching. 
 Kejadian yang mengorbankan semua penumpang itu dilaporkan berlaku  dalam keadaan cuaca buruk dengan hujan lebat disertai angin kencang dan  kilat sabung-menyabung. 
  Selepas 22 tahun nahas itu berlalu, wartawan S2, SAIFUL HAIZAN HASAM  dan SOPI SAMAILE serta jurufoto AMIR HAFIZ ABDUL RAHMAN menyusuri muara  Sungai Lundu untuk mengimbas tragedi yang turut menyumbang kepada  statistik 17 kejadian Nuri terhempas sehingga mengorbankan 95 nyawa  sejak 1968. 
 Ikuti laporan penuh dan kisah-kisah di sebalik tragedi ini di dalam S2 Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.  
Tiada ulasan:
Catat Ulasan