11 di betong sarawak - Google Blog Search |
FbMetro!: 4 beranak ditemui mati berulat Posted: 16 Nov 2012 10:08 PM PST 4 beranak ditemui mati berulat Maut selepas dipercayai terhidu gas karbon asap generator. BETONG - Empat sekeluarga yang ditemui dalam keadaan sudah berulat dan masing-masing mulut berair di sebuah rumah di Jalan Kolam, Lubuk Chepung, Pusa dekat sini kelmarin dipercayai mati akibat terhidu asap generator yang membekal tenaga elektrik di rumah tersebut. Mereka yang terkorban ialah Zaidi Pandi, 62; isteri, Tiah Sauti, 53, dan dua anak mereka iaitu Atikah, 27, serta Kazil, 20. Semasa ditemui, keempat-empat mangsa itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih daripada 48 jam. Atikah dan Kazil merupakan orang kelainan upaya (OKU) iaitu lembam. Penemuan mayat empat beranak itu terbongkar apabila adik kepada Zaidi, Omar, 39, pergi ke rumah itu pukul 5 petang dan terhidu bau busuk dari arah rumah kayu tersebut Keadaan keempat-empat mayat itu amat memilukan dengan Zaidi ditemui dalam keadaan memakai baju Melayu, kain pelekat serta berkopiah terlentang atas sejadah di ruang tamu. Di sisi mayat pengusaha kantin itu pula, mayat Atikah. Atikah yang memakai baju-T semasa dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kepala di atas bantal. Bersebelahan mayat Atikah ditemui sehelai telekung berwarna putih. Mayat Kazil yang memakai baju-T dan seluar panjang turut ditemui di ruang tamu dan dalam keadaan terlentang di atas tilam. Sementara itu, isteri Zaidi, Tiah dijumpai di dalam bilik tidur dengan keadaan terlentang di atas tilam. Tiah semasa itu memakai baju kuning dan berkain batik. Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Saifuddin Mustafa berkata, polis percaya kematian keempat-empat mangsa dipercayai berpunca daripada gas karbon monoksida daripada asap generator Motoyama model MPG3800 yang menggunakan minyak tanah. Menurut beliau, polis menemui generator itu di dapur rumah dan sudah kehabisan minyak. "Semasa mayat ditemui, pintu dan tingkap rumah mangsa dalam keadaan bertutup rapat. Polis terpaksa memecah pintu dapur untuk masuk ke dalam rumah," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!. Menurut beliau, seluruh badan mayat empat beranak itu semasa ditemui berwarna hijau kehitaman, mulut berair dengan lidah terjelir. Selain itu, terdapat beberapa tompokan darah dan air berwarna kekuningan berhampiran keempat-empat mayat mangsa. "Punca sebenar kematian akan diketahui hujung minggu ini selepas keputusan bedah siasat yang dilakukan oleh doktor pakar Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching bermula pagi esok (hari ini) diketahui," katanya. Difahamkan generator tersebut kebiasaannya akan diangkat ke belakang rumah menjelang waktu malam namun pada hari kejadian generator itu ditemui masih berada di dalam dapur. Keluarga itu menggunakan generator itu kerana masih menunggu kelulusan mendapat bekalan elektrik. Zaidi dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai seorang yang kuat agama dan disenangi oleh masyarakat tempatan. Sedih hilang orang tersayang serentak BETONG - "Saya tunggu bapa dari pagi sampai malam untuk punggah barang-barang dari kantin sekolah untuk dibawa pulang namun kelibat bapa tidak muncul. Jadi saya cuba menghubungi bapa berkali-kali tetapi langsung tidak dijawab menyebabkan saya fikir ayah marah saya." Demikian luahan Razif Zaidi, anak pengusaha kantin, Zaidi Pandi yang ditemui mati bersama isteri dan dua lagi anak mereka di sebuah rumah di Jalan Kolam, Lubuk Chepung, Pusa dekat sini kelmarin. Razif, 30, anak keempat daripada enam beradik itu berkata, kali terakhir diaberbual melalui telefon dengan bapanya pada pukul 11 malam, Selasa lalu dan mereka berjanji untuk berjumpa di Saratok pada hari Rabu bagi membawa barang-barang perniagaan di sebuah kantin sekolah pulang ke Pusa selepas tamak kontrak. Bagaimanapun, menurut Razif, pada hari tersebut bapanya gagal dihubungi malah panggilannya juga tidak dijawab oleh ibu tirinya dan dua adiknya yang tinggal di rumah sama.Panggilan telefon Razif berterusan tidak dijawab sehingga pada hari Khamis. "Saya kemudian fikir bapa merajuk menyebabkan saya minta kakak yang tinggal di Kuala Lumpur menghubungi mereka namun usaha kakak juga gagal. "Saya kemudian rasa tidak sedap hati dan meminta seorang saudara yang tinggal di kampung berhampiran pergi ke rumah bapa," katanya ketika ditemui di Hospital Betong di sini. Zaidi baru tamat kontrak sebagai pengusaha kantin di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (A) Sri Aman, Saratok dan bercadang untuk membuka sebuah gerai di Gerai Komersil Pusa. Razif memberitahu, dia sangat sedih dengan pemergian bapa, ibu dan dua adiknya serentak lebih-lebih lagi dia baru merancang untuk meminang seorang gadis untuk dikahwini. Razif serta lima adik-beradiknya yang lain merupakan anak hasil perkahwinan pertama Zaidi dengan arwah isterinya, Siti Rajemah Husain yang meninggal dunia sejak 18 tahun lalu. Zaidi berkahwin dengan Tiah pada 1996 namun tidak dikurniakan anak. KUALA LUMPUR - Gas karbon monoksida yang dihidu dalam tempoh lama di lokasi yang tertutup boleh melumpuhkan sistem otak manusia dan akhirnya menyebabkan kematian. Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penydamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, seseorang yang terdedah dengan gas tersebut akan mengganggu fungsi darah yang membawa oksigen ke dalam tisu badan termasuk ke dalam organ penting seperti jantung dan otak. la berikutan darah dalam badan manusia lebih cepat menyerap gas beracun itu berbanding oksigen sehingga menyebabkan otak dan jantung manusia akan menjadi lemah dan secara perlahan-lahan terus terhenti. Bagaimanapun, kata beliau, berapa lama tempoh sistem otak seseorang itu boleh lumpuh jika terhidu gas karbon monoksida itu bergantung kepada keadaan sesebuah premis itu. Jika sesebuah premis itu tertutup rapat, individu yang menghidu gas itu boleh maut dalam tempoh setengah jam. Menurut beliau, orang ramai yang menggunakan generator sepatutnya tahu cara untuk mengendalikan alat tersebut bagi mengelakkan berlaku kemalangan terhidu gas karbon monoksida beracun yang dihasilkan. "Sekiranya generator tersebut diletakkan di dalam rumah, mereka perlu memastikan rumah tersebut mempunyai sistem pengudaraan yang baik. "Generator yang menggunakan bahan api seperti diesel, petrol minyak tanah sudah tentu melepaskan asap beracun dikenali gas karbon monoksida, jadi lebih elok jika generator itu diletakkan di luar rumah," ujarnya kepada Kosmo! semalam sebagai mengulas kejadian empat beranak maut disyaki terhidu gas karbon monoksida di Betong, Sarawak, kelmarin. |
You are subscribed to email updates from di betong sarawak - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan