ads

Rabu, 31 Oktober 2012

11 di miri sarawak - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

11 di miri sarawak - Google Blog Search


<b>Miri</b>, Bandaraya &#39;Rezeki&#39; <b>Di</b> Utara <b>Sarawak</b> – Perak Today

Posted: 10 Apr 2011 05:16 PM PDT

Miri, yang terletak di utara Sarawak, semakin menarik ramai anak tempatan dari luar bandar untuk mencari pekerjaan baru ekoran pesatnya perkembangan industri minyak dan gas yang menjadi pemangkin kepada pembangunan sekitar bandar raya itu.

Bandaraya Miri bermula dengan penemuan "The Grand Old Lady" iaitu gelaran bagi telaga minyak Miri yang terawal ("Oil Well No. 1″) pada 1910 di atas Canada Hill.

Selepas enam dekad beroperasi dan menghasilkan kira-kira 660,000 tong minyak, ia ditutup pada tahun 1972, seterusnya diisytiharkan sebagai sebuah monumen kebangsaan.

Pada 20 Mei 2004, kerajaan negeri Sarawak meluluskan permohonan menaik taraf bandar Miri menjadi bandar raya.

Selepas itu, Miri berubah wajah kepada lebih indah dan menarik dan menjadi tumpuan pengunjung terutama taman awam dan rekreasinya, antaranya Taman Bulatan Miri (taman tasik), Luak Bay Esplanade (taman pesisir pantai), Taman Selera (kawasan perkelahan) dan Taman Awam Miri (taman tema).

Yang terbaru dan paling terkenal sekarang ialah Miri City Fan, sebuah taman seluas 10.4 hektar di pusat bandar yang dianugerahkan sebagai taman bandaraya landskap terbaik di Malaysia pada tahun 2001.

Miri juga dikenali sebagai tumpuan beli-belah di kalangan rakyat Malaysia dan Brunei yang datang ke bandar raya itu setiap hujung minggu.

Antara pusat beli belah yang terkemuka ialah Bintang Plaza, Boulevard Shopping Complex, Imperial Shopping Mall, E-Mart, Miri Plaza, Miri Square dan Wisma Pelita Mall.

Hamid Zaidi, 37, pekerja dalam industri minyak berasal dari Kuching berkata bandar raya Miri menjadi tumpuan utama kepada belia-belia yang ingin mencari "rezeki" dalam bidang industri minyak dan gas.

Katanya hampir 50 peratus daripada penduduk di Miri terbabit secara langsung dalam industri tersebut dan ia merupakan antara faktor utama kepada penghijrahan penduduk dari luar ke Miri.

"Kalau di sini ramai yang kerja "offshore" tidak kiralah kerja dengan syarikat apa sekali pun… sama ada Shell Sarawak Berhad, ataupun Petronas, selain kerja dengan syarikat yang berkaitan dengan industri minyak dan gas," katanya yang sudah membeli sebuah rumah di Permyjaya.

James Munggu, 48, pekerja kilang kayu, berkata selain bekerja dalam sektor industri minyak dan gas, ada juga penduduk di Miri yang bekerja dalam industri perkayuan seperti di Kuala Baram.

"Taklah selumayan kerja minyak dan gas, namun cukup untuk kami hidup di bandaraya Miri dan untuk menambah pendapatan kami juga berniaga makanan di pasar malam di bandar raya Miri," katanya.

Ho Chua Hee, 46, peniaga makanan laut berkata bandar raya Miri kini semakin pesat membangun dan jumlah penduduk juga sudah bertambah ramai dengan bertambahnya jumlah perumahan dan kawasan bandar baru.

Ho berasal dari Sarikei berkata sejak 20 tahun berhijrah ke Miri, dia sudah berasa serasi tinggal di bandar raya yang boleh dikatakan lubok emas bagi mereka yang mahu menjalankan perniagaan.

"Di Miri, semuanya boleh.. kalau rajin jual khasnya makanan laut, kerana setiap hujung minggu memang ramai orang luar khasnya Brunei selain pekerja minyak dan gas singgah di Miri untuk berehat dan bercuti hujung minggu," katanya.

Menurut statistik Jabatan Tenaga Kerja, kira-kira 30,000 pekerja tempatan terbabit dalam industri minyak dan gas di Miri membabitkan kira-kira 300 majikan.

Sektor pertanian dan perikanan mempunyai sejumlah 18,000 pekerja tempatan membabitkan 700 majikan manakala 1,500 pekerja tempatan lagi dalam sektor perhotelan dan restoran melibatkan 137 majikan selain bekerja di sektor awam dan swasta yang lain.

Sebahagian besar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau berada dalam bandaraya Miri dengan kira-kira 16,600 pengundi manakala sebahagian lagi berada dalam kawasan DUN Pujut (22,577 pengundi) dan DUN Senadin (22,432 pengundi).

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan Hong Nam akan mempertahankan kerusi Piasau yang disandang sejak empat penggal lalu. Pada pilihan raya negeri 2006 beliau mengalahkan Dr. Francis Ngu Hee Hieng daripada Parti Keadilan Rakyat dengan majoriti 3,918 undi.

Katanya status Miri yang diangkat menjadi bandar raya telah merancakkan aktiviti ekonomi di bandar tersebut yang menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Kalau sayangkan Miri, sama-samalah memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak membangunkan bandar ini selain menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

– BERNAMA

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG SARAWAK

Copyright 2010 All Rights Reserved