LIMBANG, dibandingkan dengan bandar yang lain di Sarawak masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan. Mungkin ini yang selalu aku perkatakan sebelum ini. Tetapi pembangunan macamana?
Adakah pembangunan dari segi luaran atau dalaman? Sesiapa yang pernah datang ke Limbang, mungkin dapat mengagak pembangunan dari segi mana yang aku nak perkatakan.
Jika nak ceritakan tentang pembangunan di Limbang, tentu kita akan menuding kepada siapa yang harus kita salahkan yang menyebabkan Limbang tak membangun seperti bahagian-bahagian yang lain di Sarawak ini. Mungkin bagi mereka yang dah lama tinggal di Limbang, kesalahan banyak dituding ke atas pemimpin sebelumnya yang tak berselera untuk membangunkan Limbang tetapi lebih berselera untuk menjamah yang ada di Limbang sahaja.
Dan sekarang pemimipin yang lama dah bertukar, sudah dua penggal memegang tampuk kuasa di Limbang. Adakah kita masih lagi untuk menyalahkan ke atas pemimpin terbabit?
Ataupun kita meyalahkan situasi yang ada di Limbang yang menyebabkan hasilnya tidak seberapa, seperti keadaan ekonomi, geografi, kurang wang, keadaan politik semasa, kurangnya sokongan, keadaan sistem negara, sikap orang tempatan dan pelbagai lagi yang hendak kita salahkan.
Jadi, aku yang sudah tinggal di Limbang terasa macam biasa sahaja, seakan semuanya ok. Ada pembangunankah atau tidak, keadaan di Limbang terus bergerak dengan gayanya tersendiri.
Walaupun ada suara-suara ketidakpuasan kedengaran agar Limbang perlunya ada pusat pendidikan yang tinggi, perlunya ada agensi ini, perluya ada sekolah teknikal, perlunya ada jalan-jalan yang baik kerana Limbang bersempadan dengan Negara Brunei, perlunya hospital dinaiktaraf dengan doktor-doktornya sekali tanpa perlunya merujuk di hospital Miri bila kes kritikal, perlunya jambatan dibina untuk ke kampung seberang agar mudah dihubungi, perlunya jalan dibina untuk tidak melintasi Negara Brunei agar tidak menghadapi kesesakan di sempadan, perlunya lapangan terbang dibesarkan lagi agar tidak perlu singgah di Miri lagi(bagi penerbangan selain dari Miri) dan banyak lagi perlu dibuat di Limbang yang tak dapat nak aku tuliskan di sini.
Mungkin juga kepimpinan yang ada di Limbang masih baru lagi berbanding kepimpinan yang ada di Lawas(yang kini semakin mengatasi keupayaan Limbang) menyukarkan lagi untuk membawa pembangunan yang sepatutnya dah terjadi di Limbang. Tarikan bagi pemimpin baru di Limbang belum lagi dapat menarik perhatian kerajaan negeri.
Apa yang harus dibuat untuk menggerakkan pembangunan yang ada di Limbang ini? Bukannya pembangunan yang ada di Limbang tiada langsung tetapi begitu perlahan dan kurang diberi perhatian yang sewajarnya oleh mana-mana pihak.
Peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi kerajaan dalam membangunkan suasana "menarik" memberi impak kepada pembangunan di Limbang. Ketangkasan dan inovasi dari agensi-agensi yang ada diperlukan agar pembangunan yang sudah tersedia hanya perlukan sentuhan dan bantuan yang kreatif dari agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan. Namun seperti yang terjadi ketangkasan yang ada tidak diimplementasikan dengan sepenuhnya. Hanya dibuat dengan gaya yang begitu santai dan ketidakwajaran.
Sepatutnya pembangunan di Limbang boleh berjalan dengan pantas disebabkan di sudut geografi Limbang yang dikelilingi oleh Negara Brunei, Labuan, Lawas dan Sabah. Namun, ia masih bergerak dengan perlahan-lahan dan mungkin juga suasana yang begitu santai di Limbang memberi kesan kepada keaktifan penduduk di Limbang agaknya.
Kesimpulannya, Limbang tetap Limbang iaitu keunikannya yang berada dalam Negara Brunei Darusalam.
Like this:
Be the first to like this.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan