11 di subis sarawak - Google Blog Search |
Posted: 19 Jun 2012 10:21 AM PDT Tiada kejayaan datang bergolek, tanpa usaha dan pengorbanan. Sesetengah manusia lebih suka menilai lantas menghukumi orang lain tanpa belas kasihan, tanpa mengetahui betapa sukar hidup yang pernah dilalui individu itu pada masa lalu. Saya bersyukur dengan kehidupan kini, bukan kerana material semata-mata, namun kerana orang-orang di sekeliling saya yang begitu setia dalam susah dalam senang. Saya tidak pernah membandingkan kehidupan dengan mereka yang miskin atau kaya. Saya tahu, ada pihak yang selalu menilai dan menghukum saya, justeru saya kira adalah lebih baik jika berkongsi pengalaman lalu, bukan untuk menunjuk-nunjuk namun sebagai renungan. Mungkin ada insan lemah yang kini berada dalam percubaan, saya berdoa semoga kalian tabah, berani dan jangan putus asa. Saya dilahirkan dalam keluarga yang sangat miskin. Kedua-dua ibu bapa saya menetap di kawasan ulu di Selangau dan bekerja sebagai petani yang tidak tentu pendapatan. Kedua-dua abang saya dilahirkan di sana, sebelum ibu saya mengambil keputusan nekad untuk berpindah ke kawasan lain untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Pengalaman berjalan berjam-jam ke huma, perahu karam dan bertembung dengan buaya, tidak cukup makanan dan duit, menyebabkan jiwa ibu saya 'memberontak' untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Sekitar 1975, keluarga saya berpindah ke Batu Niah, kira-kira 100km dari Miri dan setahun kemudian saya dilahirkan. Kehidupan masih tidak berubah, cuma sedikit baik kerana tidak perlu berjalan berjam-jam dalam hutan ataupun bertembung dengan buaya ketika mencari ikan di sungai. Saya lahir dalam suasana yang serba daif. Bertahun-tahun ibu bapa saya membanting tulang di kebun dan sawah padi, namun makanan dan perbelanjaan tetap tidak mencukupi. Badan saya kurus kering seperti cicak kubin, rambut panjang keras dan berkerak kerana mandi air sungai yang kotor dan bercampur tanah. Kulit badan saya bersisik kerana kurang zat. Kepala saya juga banyak kutu, kulit berkudis dan zaman kanak-kanak saya penuh dengan situasi kelaparan. Kerana tidak tahan dengan perut yang sentiasa berkeroncong, saya sering mencuri telur ayam dalam reban di bawah rumah, sehingga saya terjatuh tersungkur beberapa kali dikejar ibu ayam. Jika telur ayam habis dibantai, saya ambil kail dan memancing ikan puyu atau ikan keli, dapat seekor dua saya pulang goreng. Ada masa tiada rezeki, saya makan nasi berlauk garam ataupun makan buah pisang liar atau apa-apa sahaja daun ulam yang tumbuh liar di tepi jalan. Saya tidak akan lupa, pernah menyelongkar tong sampah di kantin sekolah untuk mencari tin Sri Kaya yang masih bersisa yang baru dibuang. Ada masa saya mencari tin itu sehingga ke tempat pembuangan sampah, semata untuk mencolek sisa-sisa kaya yang tinggal, kerana kelaparan. Di sekolah, saya bukan murid yang pintar. Saya tergolong sebagai pelajar yang paling lemah, tidak pandai membaca sehingga Darjah Lima, dan saya sering meniru kawan-kawan lain membaca, dengan memegang buku terbalik. Jujur, saya memang tidak tahu buku itu terbalik. Ketika itu saya benar-benar bertekad, dan berjanji dengan diri sendiri, jika saya pandai membaca, saya akan baca apa sahaja tulisan di dunia. Setahun kemudian, saya pandai membaca dan sejak itu saya gembar membaca. Surat khabar pembungkus sayur, kalendar, kertas pembungkus ubat, sabun, botol minyak masak, bahkan kandungan baja yang tertera pada guni baja untuk ibu bapa saya berkebun pun dibaca. Beberapa tahun sejak berpindah ke Niah, ibu bapa saya mengusahakan pelbagai tanaman, padi, lada, koko, pisang dan jagung. Semua saya pernah rasakan. Saya diajar sejak kecil, untuk berjiwa kental, melakukan apa sahaja kerja tanpa sungutan. Keperibadian saya banyak dipengaruhi oleh ibu saya, yang sentiasa berusaha untuk memastikan kehidupan lebih baik. Bagi beliau, tidak selama-lamanya hidup susah jika ada keinginan untuk mengubah nasib. Semangat beliau untuk mencapai apa yang diingini begitu consistent, tidak ambil peduli apa orang lain cakap dan terus berusaha, dari hari ke sehari, tahun demi tahun. Saya menghabiskan masa kanak-kanak saya di kebun atau sawah. Jika tidak, saya ditugaskan menjemur padi, lada dan koko. Jika ada masa terluang saya, gemar memanjat pokok rambutan atau pokok jambu dan duduk di sana berjam-jam menunggu kapal terbang melintas. Kadang-kadang waktu petang, saya naik ke atas bumbung rumah dan berbaring di sana sambil merenung langit dan menghirup udara. Tiap kali kapal terbang melintas, saya selalu memberi perhatian sehingga objek itu benar-benar hilang dari pandangan. Entah, tapi saya sudah memasang angan-angan yang saya anggap gila dan tidak masuk akal. Saya mahu menjelajah dunia luar dan lihat apa ada di luar sana. Keinginan itu sudah menjadi darah daging saya sehingga kini. Berbalik kepada kisah sekolah, saya meneruskan Tingkatan 1 di SMK Subis pada 1989. Kehidupan keluarga semakin sukar, tanggungan keluarga semakin berat. Kedua-dua abang saya melanjutkan pelajaran di bandar Miri manakala dua lagi adik saya masih kecil, menyebabkan kami sekeluarga benar-benar dihimpit kemiskinan. Semua hasil dihantar untuk kedua-dua abang manakala selebihnya digunakan menyara kedua-dua adik saya. sehingga bahagian untuk saya, seolah-olah tiada. Tetapi saya tetap cool dan berdiam, kerana mungkin sudah sifat semulajadi saya. Saya dilanda kelaparan lagi. Jika sepupu saya membawa wang sebanyak RM50 untuk seminggu, saya pula RM5 pun belum tentu dapat. Saya benar-benar terdesak, sehingga saya mencuri beras dan lada di rumah, yang kemudian saya jual di Batu Niah. Sekilo dua, dapatlah berbelas ringgit. Saya tidak salahkan keluarga, kerana mereka juga tiada wang. Walaupun asrama menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam, namun ia masih tidak mencukupi, kerana saya selalu lapar. Lantaran terdesak, saya mengambil upah mencari buah kedondong di kebun nenek Cina, upahnya RM1, kebetulan cucu perempuannya yang saya panggil bini popeye, adalah sama kelas. Kadang kala, nenek tersebut membekalkan kedondong yang hampir buruk untuk saya bawa dan makan di asrama. Saya juga mengambil upah mengangkat bateri kereta, bayaran 50 sen. Saya juga mengambil upah membersihkan sarang burung layang-layang yang diambil di Gua Niah. Jika mood tauke bagus, dapatlah RM1.50 sehari, jika tak bagus 80 sen sehari. Namun saya redha dan pasrah, kerana tauke tersebut menyediakan makan tengah hari dan makan malam. Saya juga pernah terjebak dalam perhubungan cinta monyet, seawal Tingkatan 1 lagi. Kebetulan budak bernama E tersebut cute dan kelasnya pula bersebelahan. Dia sering mengirimkan surat cinta, siap ditabur dengan bedak jenama Holiday ice warna biru. Budak tu sering hantar bunga, dia selalu kutip belakang dewan makan dan beri dengan saya. Dah nama cinta monyet, dia memutuskan 'hubungan' (itupun jika layak disebut hubungan ) selepas habis Tingkatan 3 (1991), sebaik sahaja keputuan SRP keluar. Alasan, sebab saya gagal dan dia pula lulus. Mak oi, tiga tahun bukan main ambil hati saya, tup-tup saya gagal SRP sebab fail subjek Matematik, dia kata, kami tak setaraf dan hubungan harus diputuskan. Hancur berkecai juga hati saya masa tu, ditinggalkan sebab fail SRP. Dia kemudian sambung Tingkatan 4 di Miri, manakala saya dan dua orang lagi rakan senasib repeat Tingkatan 3 di Subis. Kegagalan itu benar-benar menjadi titik tolak penting dalam hidup saya. Saya dapat terima jika budak E itu meninggalkan saya kerana gagal SRP, tetapi yang kurang enak, bila saudara-mara sendiri mencerca dan menghina bila gagal. Panggilan bodoh, dungu, paloi, dan senyum sinis mereka itu yang benar-benar membuat saya sedar, saya perlu melakukan sesuatu. Situasi ini menyebabkan saya berasa dunia saya terlalu kecil, sehingga berjalan pun saya tidak sanggup mengangkat kepala. Terasa diri terlalu rendah serendahnya. Setiap kali cuti sekolah, saya menghabiskan masa di rumah kebun, tidak mahu pulang ke rumah panjang kerana takut diejek dan diperli. Sudahlah badan saya kurus kering macam kerengga, hingga pinggang saya yang kecil pun diejek. Sungguh memalukan. Setahun, saya berhempas pulas, saya lulus SRP. Saya meneruskan Tingkatan 4 dan 5 di Subis, namun suara sumbang terus kedengaran, memperlekeh dan merendahkan kebolehan saya. Saya berdiam. Keputusan SPM pada 1994, saya mendapat keputusan cemerlang. Kemudian sambung Tingkatan 6 di Miri, juga lulus dengan baik. Pada suatu hari, adalah seorang rakan memberitahu, budak E bertanyakan saya. Dengar khabar, SPM dia sangkut. Pada 1997, keputusan STPM keluar, juga dapat keputusan baik. Pada masa itu, saya sudah menyimpan cita-cita untuk menjadi wartawan, mungkin pembawaan masa kecil saya suka baca surat khabar yang dikutip di tepi jalan . Pada tahun yang sama, saya melanjutkan pelajaran ke Unimas dan mengambil jurusan Komunikasi. Pada masa itu, mulut-mulut yang dulu suka mencerca sudah bertukar manis. Tiba-tiba saya ni jadi somebody di mata mereka. Itulah resam manusia. Namun perjalanan hidup sebagai siswi tidaklah semudah zaman sekarang. Dulu, saya minta pinjaman, semua tak dapat. Kawan-kawan lain bukan main hidup mewah, beli handphone, beli kereta, buat rumah dengan duit PTPTN, saya pula di bilik makan sayur paku pakis yang dicari kawasan belukar di Batu Lintang. Nasib ada kawan-kawan yang baik hati, sama-sama kongsi makan mee bungkus, telur ayam, roti dan nasi campur untuk menggalas perut. Budi baik mereka tetap saya kenang sampai bila-bila. Jika terdesak, saya minum air paip untuk menipu perut. Saya sering tidur dengan perut kosong, sudahlah jauh dari keluarga. Cuti Krismas dan Gawai saya tidak pulang, kerana tiada wang. Saya sambut dengan coklat dan minum air sejuk. Untuk menjimatkan duit, saya selalu masak bubur dan dimakan sehari-harian dengan kacang panggang, dari pagi hingga malam. Ada masa emosi, saya makan bubur tu dengan air mata berlinangan sambil memadat-madatkan bubur dalam mulut agar tidak kebuluran. Duit tidak cukup, yang ada cukup-cukup bayar yuran pengajian, bayar fotostat dan beli buku. Duit untuk makan tiada. Tapi saya kuatkan semangat untuk belajar dan menghabiskan pengajian. Oleh kerana selalu lapar, saya selalu hilang tumpuan di kelas. Tahun kedua dan ketiga, barulah mendapat biasiswa, itu pun cukup-cukup untuk bayar yuran pengajian selama empat semester. Namun syukurlah, saya lulus juga. Kepayahan yang dilalui benar-benar membakar semangat saya untuk berusaha menjadi yang lebih terbaik, jika bukan kaya, memadailah cukup makan. Sebab itu, saya sensitif jika orang mempertikaikan apa yang saya makan hari ini. Saya sudah terlalu lama berlapar dan menahan perut. Saya juga sensitif dengan orang yang tidak dapat makan, bagi saya tiada salah memberi mereka makan jika kita ada rezeki lebih. Hari ini, saya masih sedar dan tahu asal usul saya. Walaupun di mana bumi saya pijak, saya tidak pernah lupa akan kesengsaraan yang dilalui. Saya berharap, walaupun apa rintangan dalam hidup kalian, jangan putus asa. Terus mara ke depan, tidak selamanya hidup susah. Lihat kemiskinan dari sudut positif, untuk menjadikan diri sebagai manusia yang kental dan sabar. Mengenai budak E, kali terakhir saya terserempak dengannya ialah pada 1998 (kalau tak silap) di stesen minyak di Simpang Ngu, semasa dia sibuk mengepam minyak. Saya berharap dia sekarang lebih berjaya dan bukan bekerja di situ sahaja. Apa yang saya titipkan di sini adalah sebahagian daripada perjalanan berliku yang pernah saya lalui. Sebahagian lagi biarlah menjadi rahsia dalam hidup… |
You are subscribed to email updates from di subis sarawak - Google Blog Search To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan