Rabu, 29 Mei 2013

11 di saratok sarawak - Google Blog Search

11 di saratok sarawak - Google Blog Search


Krisis, Gelora dan Dilema Calon <b>di Saratok</b> - <b>Sarawak</b> Update

Posted: 17 Apr 2013 08:41 PM PDT

 

Rudi Affendi Khalik

 

 

Gelora jelas membadai Parlimen P205 Saratok apabila ahli-ahli SPDP Bahagian Krian dan Kalaka membayangkan kekecewaan mereka terhadap pengguguran Jelaing Mersat sebagai calon BN Saratok pada PRU kali ini.

 

Bagi mereka, ini satu pengkhianatan terhadap perjuangan mereka selama ini, yang yakin BN tetap utuh di parlimen tersebut.

 

Jelaing yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan -- di sebalik usia dan fizikal yang tua, dikatakan masih mampu untuk menjulang kemenangan. Sehingga detik pengumuman calon, beliau telah berkempen habis-habisan bagi memastikan kemenangannya pada PRU kali ini. Ini setelah menyedari salah satu kerusi DUN yang terletak di dalam parlimennya telah jatuh ke tangan PKR pada PR Negeri yang lalu.

 

Pada April 2012, Mawan dengan jelas memaklumkan kepada penduduk Saratok bahawa hanya nama Jelaing dimajukan sebagai calon BN bagi kawasan tersebut. Tetapi pada

Selasa lalu, Presiden SPDP itu sendiri dinoktahkan sebagai calon pembawa bendera Barisan Nasional di Parlimen tersebut.

 

Tan Sri William Mawan Ikom dalam respons kepada pihak media berkata: "Ia merupakan satu kepercayaan daripada pimpinan tertinggi parti terhadap beliau untuk memastikan kerusi itu terus kekal di tangan BN."

 

Reaksi segera yang diperoleh, terutama daripada ahli-ahli SPDP sendiri di kawasan itu membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi. Apakah penyebab perkara ini? Apakah Jelaing tidak setia pada perjuangan parti? Atau beliau terlalu tua? Atau Presiden SPDP sendiri tidak percaya akan kemampuannya untuk menahan serangan Ali Biju – yang telah menghampakan Peter Nyarok – seorang politikus senior dalam PR Negeri lalu di DUN Krian.

 

Untuk rekod, Jelaing merupakan penyandang P205 Saraatok untuk dua penggal setelah menggantikan Datuk Peter Tinggom ak Kamarau pada 2004. Pada 2008 beliau memperoleh 12,470 undi mengalahkan calon PKR, Ustaz Haji Mohd Yahya bin Abdullah yang sekadar memperoleh 3,764 undi.

 

Kemelut ini pasti menyukarkan  -- apatah lagi Mawan hanya bertindak sedemikian sebagai reaksi terhadap pencalonan Ali Biju oleh PKR untuk kerusi berkenaan. Beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali.

 

Dengan pelbagai kemelut lain yang sedang membengkak dalam SPDP, termasuk krisis di Mas Gading dan pengguguran Datuk Jacob Dungau Sagan di Baram – yang turut diganti dengan muka baru, Ngau Anyi – Mawan sebenarnya harus melihat pilihan-pilihan terbaik untuk memastikan kerusi ini terus kekal di tangan BN.

 

Hanya jauhari mengenal manikam. Ahli-ahli SPDP di kedua-dua Bahagian ini sebenarnya kecewa kerana mereka tidak dibawa berunding. Jika faktor umur sekali pun menjadi punca, atau pengaruh Ali Biju menjadi ketakutan, mereka perlu diberi peluang untuk bercakap. Berbincang siapakah yang paling sesuai untuk dicalonkan. Dan tentunya mereka mengharapkan anak tempatan – kerana anak tempatan lebih mudah untuk dijual kepopularannya.

 

Di sebalik serangan konco-konco Ali Biju yang pasti ingin melihat kejayaan berganda, Mawan yang turut memperjudikan kredibilitinya sebagai Menteri Kanan dan Presiden parti – harus memastikan penduduk Kalaka dan Krian setia kepada BN. Beliau harus bertemu dan berbincang kembali dengan Jelaing – menggunakan istilah TPM Muhyiddin Yassin: Kalau merajuk, biarlah hanya 24 jam – untuk memastikan kesemua penyokong Jelaing tidak berpaling tadah.

 

Caranya, mungkin dalam bentuk pelantikan senator dan sebagainya, bagi meredakan situasi. Atau jika terus berdegil, akan menyaksikan tindakan ketidaksetiaan penyokong Jelaing. Bagi Mawan, beliau sebenarnya tidak mampu untuk kehilangan penyokong Jelaing yang sebelum ini selalu turun padang bersama-sama rakyat. Sokongan itu perlu diraih bagi menandingi penyokong tegar Ali yang semakin bertambah, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

 

Reputasi dan prestasi adalah dua perkara yang terlibat dalam perang kali ini Saratok. Untuk ketika panas seperti ini, mereka bukan menantikan gula-gula dan janji Mawan, tetapi menanti apakah tindakannya terhadap Jelaing dan bagaimana beliau dapat memujuk dan menyentuh hati setiap penduduk di Saratok.

 

Tinjauan di Saratok telah kedengaran suara-suara yang membandingkan usia Jelaing dan Tengku Razaleigh Hamzah yang masih aktif bertanding.

 

Apa jua keadaan, Mawan memiliki tidak sampai tiga minggu untuk membetulkan keadaan bagi memastikan keadaan kembali normal dan sokongan masih mampu dikecapi. Atau mereka akan berputih mata kerana tentera Ali Biju, termasuk Ketua Penerangan Keadilan Sarawak – Vernon Kedit – semakin aktif membina sokongan.  Jangan nanti ahli-ahli SPDP di kawasan tersebut sendiri menjadi duri dalam daging – bukan sahaja tidak memangkah – bahkan memboikot dan mensabotaj setiap kempen yang dijalankan.

 

Sebagai ahli politik yang senior, saya percaya Mawan telah mempertimbangkan segala-galanya. Beliau pasti faham tentang percaturan sebelum namanya diumumkan. Dan saya percaya, senjata yang paling rahsia akan digunakan bagi memastikan jiwa yang luka dibebat, hati yang kecewa, dihiburkan. Selamat berjuang.

 

 

* Rudi Affendi Khalik merupakan bekas Editor Rencana Utusan Sarawak dan bekas koresponden TV AlHIjrah Sarawak

  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads