Isnin, 4 Mac 2013

11 di lundu sarawak - Google Blog Search

11 di lundu sarawak - Google Blog Search


abdnaddin: Sumbangan bekas tentera tidak boleh diperkecilkan

Posted: 30 Jan 2013 06:09 AM PST



SUMBANGAN BEKAS TENTERA TIDAK BOLEH DIPERKECILKAN
APABILA ada pihak tertentu cuba memperkecilkan sumbangan bekas-bekas tentera terhadap kemajuan dan pembinaan negara, beliau melahirkan rasa kesal dan kecewa. Sesiapa yang tidak pernah berkhidmat dalam angkatan tentera, sebaiknya tidak mengeluarkan kenyataan yang biadap dan menghina, kata Haji Nordin Abdullah, seorang veteran tentera yang juga mantan Yang Di Pertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah 1991-2006.
Haji Nordin Abdullah lahir di Kota Belud pada tahun 1946. Ayahnya, Abdullah bin Haji Nursalih adalah seorang anggota polis manakala ibunya Puan Aminah @ Linang bte Daud, seorang surirumah. Beliau mendapat pendidikan awal di St James Kudat pada tahun 1959. Apabila ayahnya ditugaskan ke Tenom, Haji Nordin berpindah ke Sekolah St Anthony Tenom dan menjadi rakan sekelas Datuk Radin Malih. Tidak lama kemudian, beliau mengikut keluarganya berpindah ke Papar, dan beliau bersekolah pula di SM St Joseph Papar. Selepas tamat sekolah menengah, beliau memasuki perkhidmatan tentera melalui Batalion kedua Renjer pada tahun 1963 sehingga tamat perkhidmatan pada tahun 1974. Haji Noordin mendirikan rumah tangga dengan Siti Hasnah Haji Ali di Sungai Petani Kedah pada tahun 1972 dan dikurniakan empat orang anak. Selepas bersara dari perkhidmatan tentera, beliau menceburi bidang perniagaan dan pernah dipilih sebagai Yang Di Pertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah selama lima belas tahun iaitu pada 1991-2006. Bagi mengenang jasa dan khidmat baktinya, beliau telah dianugerahkan pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), Kesatria Mangku Negara (KMN), Pingat Perkhidmatan Negara (PPN), Pingat Jasa Malaysia (PJM), Pingat Perkhidmatan Masyarakat (PPM), Pingat Perkhidmatan Awam (PPA) dan Bintang Setia Kinabalu (BSK).
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual beliau mengenai penglibatannya dalam tentera, pahit manis perjuangan dan pandangannya terhadap beberapa isu berkaitan bekas tentera.
UTUSAN BORNEO:      Bolehkah tuan haji ceritakan mengenai penubuhan 2 Renjer?
HAJI NORDIN ABDULLAH:     Pasukan 2 Renjer  ditubuhkan pada tahun 1963 sebaik saja pembentukan Malaysia. Sebanyak 99 peratus anggota Pasukan 2 Renjer ini adalah terdiri daripada anak-anak tempatan negeri Sabah yang mula-mula memasuki tentera. Batalion kedua ini ditubuhkan khas untuk negeri Sabah yang mana pegawai-pegawainya terdiri daripada tentera British. Pasukan Batalion Pertama ditubuhkan untuk negeri Sarawak. Sebelum penubuhan 1 Renjer, Sarawak telah mempunyai Sarawak Renjer.
UB:       Dimana pasukan ini menjalani latihan?
HNA:    Pasukan ini telah dihantar ke Semenanjung Malaysia untuk menjalani latihan selama 6 bulan bertempat di Sungai Petani Kedah dan di Ipoh Perak. Sebaik saja tamat latihan, pasukan ini telah menjalankan operasi di Sempadan Malaysia-Thai dikenali sebagai Operasi Bambu. Selepas itu, pasukan ini telah dihantar ke Pulau Sebatik semasa konfrontasi Malaysia-Indonesia. Kemudian pasukan 2 Renjer itu berpindah ke Kem Lok Kawi ketika kem itu mula dibuka. Namun pasukan itu dihantar balik ke Semenanjung untuk menentang pengganas Komunis.
UB:       Maknanya Sarawak ada 1 Renjer. Sabah ada 2 Renjer yang kebanyakan anggotanya orang Sabah. Ada pasukan lain?
HNA:    Selepas itu, kerajaan telah menubuhkan Pasukan Batalion Ketiga Renjer terdiri daripada anggota dari Semenanjung, Sarawak, Sabah sehinggalah pasukan renjer mempunyai batalion kesembilan ketika ini.
UB:       Selepas 2 Renjer, tuan haji pindah ke mana?
HNA:    Saya ditugaskan ke empat renjer selama dua tahun.Pangkalan kami di Ipoh Perak.
UB:       Tuan haji pernah terlibat dalam pertempuran?
HNA:    Sebenarnya ketika berada dalam 2 Renjer dan 4 Renjer, saya tidak pernah terlibat dalam pertempuran. Tetapi ketika ditugaskan di 7 Renjer, kami terlibat dalam pertempuran dengan pengganas komunis. Kejadian itu berlaku di kawasan Biawak, di Lundu Sarawak apabila pasukan kami diserang hendap. Tahun 1972.Seramai 15 orang anggota batalion terkorban iaitu 13 dari Semenanjung dan dua dari Sabah. Anggota yang terkorban itu ialah Allahyarham Salman dari Bongawan dan Mendiang Ongging dari Kuala Penyu.
UB:       Apa yang terjadi selepas itu?
HNA:    Selepas pasukan kami diserang, kami telah berusaha menjejaki pengganas komunis. Kami dari Kompeni A telah mendapat maklumat dari orang kampung, orang Iban yang menunjukkan ada kira-kira tujuh orang Komunis di satu kawasan di Lundu. Antara yang terlibat dalam operasi itu ialah Sabdin Ghani, Lukas orang Sipitang, Nagatamin, orang Kota Belud dan Vincent dari Papar. Apabila mendapat maklumat, waktu itu kira-kira jam 4.30 petang, kami terus berangkat ke Lundu menggunakan sampan. Kami mula bergerak jam 5.00 petang. Kami naik sampan. Kira-kira satu kilometer dari tempat Komunis itu, kami matikan enjin sangkut.Kami berkayuh supaya tidak didengar oleh pengganas Komunis. Kami lihat mereka ada sepuluh orang, muda-muda belaka.Kami lihat mereka baru saja selesai makan.kami tunggu sehingga mereka turun ke tanah. Kami sampai di sana, kira-kira jam 7.00 petang. Suasana agak samar-samar. Tidak lama lagi gelap. Bila melihat mereka turun, kami terus menembak. Dua orang komunis mati. Yang sedihnya, antara pengganas komunis itu, salah satunya kami kenal biasa. Kerana dia taukeh kedai kopi. Rupanya dia intelijen komunis. Kami sangat terkejut.Kami mulanya tidak tahu. Selepas pertempuran itu, kami menunggu hingga jam 7 keesokan harinya untuk mengutip mayat. Mayat mereka mula membusuk.Kami tunggu helicopter TUDM untuk membawa mereka ke Lundu tetapi kerana terlampau lama, kami mendapat arahan agar pengganas komunis itu dikuburkan saja di sana.Menurut maklumat mereka sering masuk ke rumah orang-orang kampung untuk meminta makanan. Bila keadaan hampir gelap, mereka bergerak ke Sempadan Indonesia-Malaysia.
UB:       Apa pengalaman lain dalam tentera?
HNA:    Sewaktu berkhidmat dalam tentera, kami telah menjalankan operasi mencari dan memusnah di Kedah, Perak, Pahang, hinggalah ke sempadan Thailand. Kami pernah kehabisan bekalan makanan ketika operasi itu. Tiga bulan dalam hutan.Oleh itu, kami makan apa saja.Umbut dan apa saja yang boleh dimakan.
UB:       Wah, pernah juga kehabisan makanan?
HNA:    Pengalaman tidak makan selama tiga hari tiga malam kerana kehabisan makanan ketika bertugas menjaga keselamatan negara adalah satu kenangan yang tidak mungkin dapat saya lupakan
Ketika itu cuaca tidak baik. Pesawat TUDM tidak dapat mendarat ke kawasan berkenaan kerana kawasan itu adalah kawasan hitam.Ada pengganas komunis,
Pasukan saya ketika itu menjalankan operasi dari negeri ke negeri. Bermula dari Kedah, Perak dan Pahang. Selepas itu, barulah dibenarkan balik ke pangkalan. Ketika itulah kami kehabisan makanan. Itulah satu pengalaman dalam tentera.  Dalam operasi itu, saya pernah hampir ditembak. Saya ingat lagi, ketika itu, saya sengaja bergerak di hadapan pasukan kerana kebanyakan anggota kami masih muda. Ketika itu, saya sempat tergamam apabila melihat muncung senjata Komunis menghala kepada saya. Saya terus beri isyarat kepada pasukan saya di belakang. Saya hampir mati ketika mengejar komunis. Bila kami sampai ke tempat mereka, masih ada kesan-kesan makanan dikubur.Mereka sempat lari ke sempadan.
UB:       Tuan haji ada pakai apa-apa? Sehingga tidak kena tembak?
HNA:  Adalah petua orang-orang tua. Kami tidak masuk tentera dengan dada kosong. Kami ada belajar dan amalkan petua nenek moyang kami turun temurun.Kebetulan moyang saya orang Iranun.Namanya Daud.Orang Tua Rauf yang terkenal di Kota Belud itu pangkat moyang saya. Moyang saya, pernah terlibat dalam Perang Pandasan.Oleh sebab itulah, mereka lari ke Kudat kerana dikejar orang putih.
UB:       Lama juga berkhidmat dalam tentera?
HNA:    Saya berkhidmat dalam tentera kira-kira 11 tahun. Saya masuk tahun 1963 dan berhenti tahun 1974.Apabila ada kursus kenaikan pangkat kepada sarjan, saya mengambil keputusan berhenti.
UB:       Mengapa berhenti?
HNA:    Kamu tidak tahu kesengsaraan kami dulu. Ketika itu gaji rendah. Selain itu terpaksa berpindah randah di seluruh negara.Operasi dalam hutan selama satu hingga tiga bulan. Kadang-kadang tiga bulan operasi, hanya ada masa dua atau tiga hari di rumah. Kerana itu mereka tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga.Selain itu gaji  tidak berbaloi dengan tugasan yang dijalankan. Kerana itu, majoriti pasukan anggota renjer yang menamatkan perkhidmatan selama sepuluh tahun, 15 tahun dan 13 tahun.Mereka ini  tidak mendapat pencen. Keadaannya agak berbeza dengan masa sekarang. Kini  anggota ATM amat bersyukur kerana kerajaan telah mengambil inisiatif menaikkan gaji mereka.
UB:       Menurut pandangan tuan haji, mengapa bekas tentera masih ramai yang hidup dalam kemiskinan?
HNA:    Kita akui sewaktu berkhidmat dulu, mereka tidak mempunyai banyak masa untuk berurusan. Bagaimana kami berurusan, minta tanah misalnya. Kadang ada cuti dua minggu balik kampung. Kadang untuk memohon tanah kami perlu berjumpa pegawai. Tetapi pegawai pula, berkursuslah, sakitlah dan sebagainya. Itu sebabnya ada di antara bekas tentera tidak punya tanah sampai sekarang.
Sehubungan itu, kami menyokong saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Kamarlin Haji Ombi yang pernah mengusulkan dalam sidang DUN agar Kerajaan Negeri prihatin terhadap nasib bekas tentera dengan member tanah dan rumah percuma untuk mereka.Kita harap kerajaan beri perhatian yang serius  kepada perkara ini.Harap harap Ketua Menteri tidak menghampakan orang lama veteran dengan member keistimewaan dan  kemudahan atas jasa yang telah dicurahkan.,Saya yakin kerajaan negeri akan membela nasib bekas tentera. Sedangkan burung pun diberi tempat tinggal, diberi tanah di teluk Likas, inikan pula bekas tentera yang banyak jasanya kepada negara.  Kita berharap kerajaan sentiasa menjaga kebajikan bekas-bekas tentera yang telah berjuang untuk mempertahankan keselamatan negara terutama mereka yang pernah bertempur melawan ancaman pengganas komunis.
UB:       Oh ya, apa respon tuan haji terhadap segelintir pihak yang seolah-olah menidakkan peranan dan jasa bekas tentera.Misalnya ada pihak yang menafikan pengorbanan Dato' Temenggung Kanang anak Langkau yang meninggal dunia baru-baru ini?
HNA:    Saya merasa kesal terhadap tindakan setengah pihak yang tidak bertanggunjawab mengeluarkan kenyataan menafikan pengorbanan Dato Temenggung Kanang anak Langkau  sebagai wira negara. Tindakan portal yang dikatakan milik parti pembangkang yang  menafikan pengorbanan mendiang Kanang anak Langkau dengan mengatakannya bukan Her adalah tidak wajar dan tidak bertanggungjawab sama sekali.Sebagai seorang veteran dan anggota  Renjer di Raja Malaysia, seorang veteran ATM, saya terguris hati dan terkilan ke atas tindakan portal itu. Ini satu penghinaan. Saya berasa terpanggil untuk member respon ini setelah terbaca kenyataan dalam akhbar nasional pada 7 Januari 2013. Penafian terhadap sumbangan dan pengorbanan Mendiang Datuk Temenggung Kanang anak Langkau sebagai pahlawan negara adalah satu penghinaan terhadap seluruh veteran Angkatan tentera Malaysia khususnya Kor Rejimen Renjer Diraja.
Oleh sebab itu, saya menasihatkan supaya sesiapa yang tidak pernah berkhidmat dalam angkatan tentera, jangan membuat sebarang artikel yang menyinggung  veteran ATM. Atas sumbangannya mendiang Kanang telah dianugerahkan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa dan Panglima Gagah Berani (PGB). Tidak ramai yang menerima pingat penghargaan dan pengiktirafan seperti itu. Sehubungan itu, jangan menulis  membabi buta  dan tidak bertanggung jawab serta menyinggung perasaan veteran angkatan tentera.
Ketika itu kami menggadai nyawa kami demi negara. Perjuangan kami untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.Perjuangan kami tidak semata-mata pasal gaji tetapi lebih kerana perjuangan demi negara.
UB:       Kalau boleh tahu, berapa gaji ketika itu?
HNA:    Pada ketika itu kami dibayar gaji hanya 60 ringgit sebulan sebagai rekrut.
UB:       Hanya sebesar itu?
HNA:    Itu tahun enam puluhan. Hanya sebesar itu, kecil berbanding profesion lain.Semasa berkhidmat dahulu, ada di antara pasukan tentera menjalankan tugas operasi semasa menyambut kemerdekaan. Kami tidak pernah merasa untuk menyambut Hari Kemerdekaan bersama-sama orang ramai seperti sekarang.
UB:       Setelah tamat perkhidmatan, apa yang bekas tentera lakukan?
HNA:    Setelah menamatkan perkhidmatan, anggota-anggota pasukan balik ke kampung masing-masing.Sebahagian daripada anggota pasukan ini tidak mendapat sebarang pekerjaan dan ada juga yang tidak mempunyai tanah untuk mendirikan rumah tempat berteduh.
Sebagai anggota tentera terutama sekali pasukan infantri hanya diajar cara-cara berperang dan tugas utama mereka ialah mencari dan memusnah musuh dan sebaliknya. Ketika zaman dahulu, tidak ada tempat khusus untuk anggota-anggota menjalankan kursus.
UB:       Sekarang kerajaan telah menubuhkan agensi untuk menjaga kebajikan bekas tentera?
HNA:    Alhamdulillah, ketika ini kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi seperti PERHEBAT dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV)  untuk mendapatkan latihan bagi bakal pesara yang akan menamatkan perkhidmatan.Bagi anggota-anggota veteran yang terdahulu, hanya menerima saguhati (gratuiti) iaitu hanya menerima RM10,000 ke bawah mengikut pangkat masing-masing.  Dulu, agak sukar bagi anggota veteran terdahulu bagi memulakan hidup sebagai orang awam selepas berhenti menamatkan perkhidmatan.
UB:       Terima kasih tuan haji kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.
HNA:    Saya ucapkan terima kasih juga kepada Utusan Borneo kerana memberi ruang kepada bekas tentera. Sekali lagi saya agak kesal dan kecewa kerana ada pihak tertentu yang cuba memperkecilkan sumbangan dan jasa bekas tentera. Saya ucapkan terima kasih kerana beri ruang untuk saya menyatakan pandangan dan respon kepada kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads