Ahad, 24 Februari 2013

11 di padawan sarawak - Google Blog Search

11 di padawan sarawak - Google Blog Search


Rumah panjang Kampung Senah Rayang dijadikan <b>...</b> - my <b>Sarawak</b>

Posted: 25 Nov 2012 03:44 PM PST

INAP DESA CONTOH: Dawos menyampaikan hadiah kepada Penyelaras Inap Desa Kampung Darul Islam Belimbing Raie Omar sambil disaksikan Michael (kanan), Lo (dua kanan) dan Dr Zaeidi (kiri).

KUCHING: Rumah panjang Kampung Senah Rayang yang dihubungkan menggunakan Jalan Link, Padawan dekat sini akan dijadikan sebuah lagi kawasan tarikan pelancongan di daerah Padawan khasnya dan Sarawak amnya iaitu menerusi konsep inap desa (homestay).

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk James Dawos Mamit berkata pemilihan rumah panjang kaum Bidayuh itu dibuat kerana potensinya sebagai kawasan ekopelancongan dan biopelancongan.

"Rumah panjangnya masih asli, maka tarikannya akan lebih tinggi berbanding rumah panjang di tempat-tempat lain.

"15 buah rumah telah dinilai dengan 13 buah didapati sesuai dan akan diluluskan oleh kementerian sebagai homestay," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Padawan Homestay 2012 anjuran bersama Majlis Perbandaran Padawan, Kementerian Pelancongan Malaysia dan Kementerian Pelancongan Sarawak di Kampung Darul Islam Belimbing, dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, Timbalan Pengerusi MPP Mohd Hashim Yap, Setiausaha MPP Michael Saweng dan Pengerusi Penganjur Pertandingan Padawan Homestay 2012 Dr Zaeidi Suhaili.

Dawos yang juga Ahli Parlimen Mambong menjelaskan bahawa kelulusan untuk menjadikan rumah panjang tersebut sebagai inap desa dijangka akan diberi dalam tempoh sebulan akan datang.

"Esok (hari ini) pegawai daripada pejabat Kementerian Pelancongan akan pergi ke situ untuk mengadakan kursus pemasaran homestay kepada penduduk terlibat supaya mereka akan lebih tahu bagaimana menguruskan homestay.

"Apabila rumah panjang ini dijadikan homestay nanti, ia akan menambah bilangan homestay di Sarawak kepada 29 buah," katanya.

Menurut Dawos, selain keunikan warisan, budaya dan keaslian rumah panjang, Kampung Senah Rayang turut mempunyai tarikan dari segi alam semula jadi seperti air terjun, gunung-ganang dan hutan.

"Kampung ini sudah berusia ratusan tahun dan begitu juga dengan rumah panjang mereka… itulah kebaikan kampung ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata beliau telah mempromosikan tentang rumah panjang tersebut di Semenanjung Malaysia terlebih dahulu walaupun ia belum dijadikan inap desa.

Ini kerana, katanya apabila ia sudah menjadi inap desa, maka akan lebih ramai pengunjung dijangka melawat ke situ.

Dalam pada itu, Dawos berkata beliau juga mahu terus menambahkan lagi bilangan pengusaha inap desa di daerah Padawan.

"Saya cadangkan penduduk-penduduk kampung untuk membuat permohonan bagi mendaftar homestay kerana di daerah kecil ini kebaikannya ialah ia berhampiran Kuching iaitu kira-kira 50 minit perjalanan, 70 peratus kawasannya adalah terdiri daripada hutan rimba, terdapat 242 gua di sekitarnya dan keindahan kawasan pergunungan serta sungainya.

"Kawasan sebeginilah yang digemari pelancong untuk dilawati kerana mereka lebih mahu terlibat dalam aktiviti ekopelancongan dan biopelancongan," katanya.

Menurut Dawos, setakat ini terdapat tiga inap desa berdaftar di kawasan Padawan iaitu di Kampung Benuk, Anah Rais dan Kampung Darul Islam Belimbing.

Sementara itu Pertandingan Padawan Homestay 2012 dimenangi oleh inap desa Kampung Darul Islam Belimbing.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kampung Inap Desa dan Individu Inap Desa.

Bagi kategori Kampung Inap Desa, hadiah pertama ialah berupa wang tunai RM1,000, piala dan sijil manakala tempat kedua ialah RM500, piala dan sijil.

Sementara, hadiah pertama, kedua dan ketiga bagi kategori Individu Inap Desa ialah RM500, RM300, RM200, piala dan sijil.

Category: Berita Tempatan, Sarawak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads