Rabu, 13 Julai 2011

11 di marudi sarawak - Google Blog Search

11 di marudi sarawak - Google Blog Search


BLOG SARAWAK: 11 <b>di marudi sarawak</b> - Google Blog Search

Posted: 02 Apr 2011 12:00 AM PDT


Oleh Amrizan MadianMARUDI, 3 April (Bernama) -- Tanggal 6 April ini genaplah 112 tahun sejarah bermulanya perlumbaan perahu panjang di sungai Baram di utara negeri Sarawak yang kini lebih terkenal dengan panggilan Regatta Baram.
Bagi masyarakat di daerah Baram khasnya kaum Iban, Kenyah, Kayan, Lirong dan Madang, Regatta Baram bermula dengan sejarah perlumbaan perahu perang membabitkan kira-kira 60 hingga 70 pendayung.
Pertelingkahan dan aktiviti memotong kepala yang sering berlaku antara kaum-kaum pribumi di lembah Baram ketika itu mendorong pemerintah Rajah mewujudkan pusat pentadbiran di Marudi pada tahun 1883 yang ketika itu dikenali sebagai Claudetown, yang terletak di tepi sebuah bukit berhampiran tebing sungai.
Di sinilah Claude de Crespigny mentadbir jajahan baru Baram dengan bantuan dua pegawai rendah, sepasukan askar terdiri daripada 30 orang dan beberapa polis orang asli.
Pada awalnya kaum pribumi memulau pentadbiran itu di samping mengancam pihak pemerintah namun beberapa tahun kemudian, kaum Kayan mula menerima pentadbiran baru itu dan mengiktiraf perintah Rajah selain bersetuju membayar cukai pintu sebanyak dua dolar setahun bagi setiap isi rumah.
Dalam tahun 1884, Charles Hose ditugaskan sebagai pegawai kadet dengan Perkhidmatan Awam Sarawak di Baram dan selepas beberapa tahun berkhidmat di situ beliau dilantik sebagai Residen Baram dalam tahun 1891.

Semasa berkhidmat di Baram, Hose mengelolakan Majlis Pengaman di kubunya, juga dikenali Kubu Hose dari 6 hingga 8 April 1899, sekali gus membawa kepada penganjuran Regatta Baram yang berjaya menghapuskan persengketaan kaum-kaum pribumi ketika itu.
Keseronokan dan kegembiraan menyaksikan perlumbaan perahu perang yang panjang ketika itu menyebabkan penduduk berbilang kaum itu melupakan sengketa dan permusuhan sebelumnya hinggalah ke hari ini.
Selepas selesai berlumba iaitu pada 9 April 1899, mereka bersama-sama meraikan pesta tersebut dengan minum tuak sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.
Bagi penduduk di lembah Baram, penganjuran tiga tahun sekali Regatta Baram merupakan temasya yang amat dinanti-natikan sebagaimana mereka menunggu ketibaan Hari Gawai, Hari Raya dan Hari Krismas.
Bagi mereka, regatta itu juga merupakan simbol kepada suburnya keharmonian penduduk berbilang bangsa tanpa mengira agama dan ideologi politik untuk bersama-sama berkumpul menyaksikan perlumbaan perahu tertua dalam sejarah Sarawak itu.
Apabila sampai waktunya, rakyat tidak kira dari Marudi hinggalah ke Kuching, Miri, Brunei dan Sabah, akan berkampung di Marudi sekurang-kurangnya empat hari untuk menyaksikan temasya bersejarah yang turut dihadiri pembesar negeri seperti Yang Dipertua Negeri, Ketua Menteri selain tetamu jemputan seperti Sultan Brunei Darussalam.
Bagi Ketua Kaum Abdullah Piee, 63, Regatta Baram merupakan temasya yang amat unik iaitu melibatkan perlumbaan perahu jenis Bidar (banyak digunakan di Kuching dan Mukah) dan Temuai (Baram).
Katanya pada sekitar tahun 70-an, Regatta Baram dianjurkan hampir setiap tahun namun atas faktor kos penganjuran yang tinggi ia kemudiannya dianjurkan dua tahun sekali pada tahun 80-an dan 90-an manakala bermula tahun 2008, status Regatta Baram telah diangkat menjadi perlumbaan perahu bertaraf antarabangsa dan dianjurkan tiga tahun sekali.
"Kalau dulu sebut sahaja Regatta Baram memang rasanya tidak sabar mahu menunggu bila ia akan dianjurkan dan apabila temasya itu berlangsung, pekan Marudi ini pastinya penuh dengan pengunjung dan kalau tidak silap, jumlah pengayuh perahu sahaja mencecah 3,000 orang melibatkan lebih 100 pasukan yang bertanding," katanya.
Abdullah berkata temasya itu juga digunakan oleh penduduk tempatan untuk beramah mesra selain berniaga khasnya menjual makanan dan minuman selain menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada pengunjung luar yang tidak mendapat tempat penginapan di hotel yang masih terhad jumlahnya.
Menurutnya ketika ini Regatta Baram yang turut disertai wakil dari Brunei selain dari bahagian lain di Sarawak, dianjurkan selama tiga hari manakala tumpuan pastinya pada hari terakhir perlumbaan untuk merebut gelaran "Raja Sungai".
"Regatta Baram kini semakin popular, jika Marudi mempunyai jalan perhubungan darat yang lebih baik dari bandaraya Miri, pastinya lebih ramai pengunjung yang datang ke sini untuk menyaksikan Regatta Baram," katanya.
Beliau berkata penduduk di lembah Baram khasnya di Marudi dan Long Lama masih bergantung kepada sistem pengangkutan sungai untuk berhubung dengan dunia luar selain menggunakan jalan darat yang masih kurang memuaskan iaitu jalan ladang kelapa sawit serta sistem pengangkutan udara iaitu melalui pesawat Twin Otter MasWing.
Beliau berharap jalan darat sepanjang kira-kira 54 kilometer dari Miri ke Marudi dapat diturap dan diperbaiki selain kemudahan feri yang lebih murah berbanding sekarang.
Dalam pada itu, Penghulu Ayub Hassan, 46, berkata untuk pergi ke Miri, penduduk di pekan Marudi masih menggunakan pengangkutan sungai sebagai penghubung utama iaitu dengan tambang RM20 sehala, menaiki pacuan empat roda dengan tambang sekitar RM40 seorang selain menggunakan kapal terbang kira-kira RM90 seorang.
Katanya jika Marudi mempunyai sistem jalan raya yang lebih baik, banyak hasil ekonomi dari kawasan Marudi akan dapat dipasarkan terus ke bandaraya Miri selain membantu melonjakkan lagi industri pelancongan tempatan.
"Di Marudi juga tidak kurang hebatnya hasil pertanian seperti buah buahan, namun masalahnya kita tidak dapat pasarkan hasil itu ke luar dengan cepat, selain kita di sini juga ada beberapa tarikan pelancongan khasnya Regatta Baram," katanya.
Ayub berkata jalan darat yang ada sekarang hanya dapat dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda dan kadang-kadang tidak dapat dilalui kerana banjir dan jalan rosak.
Beliau turut berharap agar pimpinan negeri dan pusat khasnya Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat membantu rakyat Marudi yang merupakan penyokong kuat kerajaan selama ini.
Kali ini 6 April datang lagi, mungkin keadaannya banyak berbeza dengan apa yang berlaku 112 tahun yang lalu ketika Marudi di bawah kuasa dan pentadbiran zaman pemerintahan Rajah.
Tumpuan pastinya terarah ke pekan Marudi yang menjadi pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi iaitu di Pejabat Daerah Marudi dan DUN Telang Usan di Dewan Suarah Marudi.
Pilihan raya negeri Sarawak ke-10 pada 16 April ini menyaksikan Barisan Nasional (BN) yang diwakili oleh komponennya iaitu Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) di Marudi dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Telang Usan mahu mempertahankan lembah Baram yang berada dalam Parlimen Baram.
Marudi mempunyai 13,093 pengundi berdaftar manakala Telang Usan dengan 13,623 orang, majoriti pengundi merupakan Iban, selain Orang Ulu, Melayu dan Cina.
Apakah akan berlaku pertarungan sengit kali ini seperti mana temasya perlumbaan perahu perang lebih seabad yang lalu, kerana pembangkang khasnya Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudahpun awal-awal menyatakan minat untuk bertanding bagi dua kerusi berkenaan.
credit to BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

ads